Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerja-kerja pemulihan Dermaga Gurney akan siap September


Tarikh kemaskini: 21/07/2019





GEORGE TOWN, 21 Julai (Bernama) -- Kerja-kerja pemulihan Dermaga Gurney dijangka siap pada akhir September ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Bandar dan Luar Bandar, Jagdeep Singh Deo.

Jagdeep berkata, sehingga hari ini, kerja-kerja pemulihan telah mencapai 94 peratus siap termasuk kerja-kerja perlindungan pantai dan rawatan tanah masih dijalankan.

“Kami menjangka kerja-kerja pemulihan itu akan dapat disiapkan akhir September 2019 bersama-sama  kajian akhir persempadanan yang akan diserahkan kepada Kerajaan Negeri menjelang suku akhir 2019,” katanya pada persidangan akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, daripada kesemua 53.01 hektar yang akan diserahkan kepada Kerajaan Negeri, 16.19 hektar akan dimajukan oleh Kerajaan Negeri untuk faedah orang ramai dengan mewujudkan pelbagai kemudahan orang ramai di projek dermaga itu.

Beliau berkata, kemudahan awam yang utama di Dermaga Gurney termasuk tempat makan; kedai makanan dan minuman; persiaran; tanah paya; pantai; tangga dan pemegang untuk orang kurang upaya; alat permainan kanak-kanak dan pangkalan teksi air.

"Selepas pemulihan itu adalah bahagian yang penting. Ada perancangan menjadikannya kepada kemudahan awam kalau tidak mereka akan serahkan kosong. Kita tidak mahu itu berlaku.

"Kerajaan Negeri akan mendapatkan pakar perundingan dari luar dan tempatan bagi mereka bentuk dan membina Dermaga Gurney. Dalam tempoh tiga bulan lagi, Kerajaan Negeri P, Pinang menerusi proses perolehan akan memanggil tender untuk perincian rekabentuk bagi projek Dermaga Gurney,” katanya.

Jagdeep, yang juga ADUN Datuk Keramat berkata, pembangunan taman Gurney dianggarkan RM180 juta dan akan siap antara 18-24 bulan.

Beliau berkata, projek berkenaan akan menjadi ikon kepada P. Pinang menjadikannya sebagai kemegahan di peringkat antarabangsa serta menyediakan kemudahan kepada penduduk negeri ini apabila terdapatnya kemudahan awam yang seumpama.

"Pembangunan projek Dermaga Gurney akan dipandu dengan Kenyataan Keperluan Operasi (ORS) bagi memastikan wawasan Kerajaan Negeri menjadikan Dermaga Gurney sebagai ikon awam P.Pinang dicapai,” katanya.

Sementara itu, Jagdeep berkata, kerja-kerja pemulihan bagi projek Dermaga Gurney juga membuktikan bahawa projek berkenaan boleh dilaksanakan sekiranya ia dijalankan mengikut peraturan dengan semua keperluan dan syarat termaktub di bawah undang-undang.

“Ini contoh dia. Sudah tentu ini bukanlah dalam skala besar, tetapi ia boleh dilaksanakan. Apabila kita mulakan projek ini pada 2016, untuk mendapat keyakinan rakyat, saya cadang kepada Ketua Menteri ketika itu Lim Guan Eng yang kita perlu buat satu kajian awam untuk mendapatkan input.

“Lebih 95 peratus mereka yang terlibat dalam kajian ini bersetuju dan menyokong dengan projek ini. Kira-kira tiga tahun kemudian kita hampir menyiapkannya dan kini kita dalam proses untuk membangunkan pelbagai kemudahan untuk awam,” katanya.

Dermaga Gurney, sebuah taman awam baharu menghadap pantai, adalah inisiatif Kerajaan Negeri, dengan konsep pelan induk oleh Grant Associates, sebuah perunding arkitek bertaraf antarabangsa.

Grant Associates telah terlibat dengan pelbagai projek antarabangsa termasuk di United Kingdom dengan projek seperti The Hive, Bristol Harbour Site dan Cambridge Accordia serta Singapore Garden di tepi teluk.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel