Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Maritim Malaysia selamatkan 17 kru, bot nelayan terbakar


Tarikh kemaskini: 21/07/2019





LUMUT, 21 Julai (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menyelamatkan 17 kru bot nelayan, selepas bot mereka terbakar di perairan Pulau Sembilan, kira-kira 10 batu nautika selatan Pulau Pangkor, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 malam, semua nelayan warga Myanmar berusia antara 20 hingga 50 tahun itu, selamat dengan hanya seorang sahaja dilaporkan cedera ringan.

Pengarah Maritim Malaysia negeri, Kapten Maritim Wan Mat Wan Abdullah, berkata pihaknya menggerakkan Kapal Maritim (KM) Marlin dan Bot Petir 80, sebaik menerima maklumat kejadian tersebut untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, KM Marlin menggunakan meriam air bagi memadam kebakaran bot milik warga tempatan itu, manakala Bot Petir 80 menjalankan usaha mencari mangsa di kawasan sekitar.

“Semua 17 mangsa dikatakan terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan diri dan diselamatkan bot nelayan berhampiran kawasan itu.

“Kebakaran dikawal dan dipadamkan pada jam 1.15 pagi tadi dan 16 mangsa kemudian dipindahkan ke KM Marlin untuk dibawa ke jeti berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Wan Mat berkata seorang mangsa cedera ringan dalam kejadian itu dan dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh bagi mendapatkan rawatan.

Katanya, operasi itu turut membabitkan beberapa bot nelayan yang berada di kawasan berhampiran yang membantu memadamkan api pada bot nelayan berkenaan.

“Operasi tamat pada jam 4.30 pagi selepas semua mangsa selamat tiba di jeti Pasukan Polis Marin Kampung Acheh dan dibawa ke pejabat Maritim Malaysia Negeri Perak untuk keterangan lanjut,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel