Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan tidak perlu bubar Parlimen kerana berfungsi dengan baik


Tarikh kemaskini: 21/07/2019





PARIT BUNTAR, 21 Julai (Bernama) -- Parlimen tidak perlu dibubarkan  lebih awal kerana sistemnya masih berfungsi dengan baik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih mempunyai tempoh selama empat tahun untuk meneruskan pentadbiran negara ini selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)  pada tahun lepas.

"Kenapa perlu bubar sedangkan ia berjalan dengan baik? Apa yang perlu dibubarkan adalah agenda sempit yang cuba merosakkan negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Pendidikan dan Kesihatan anjuran Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar dan Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (Picoms) di sini hari ini.

Dr Mujahid mengulas mengenai gesaan PAS supaya Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada PRU15 supaya berlangsung lebih awal.

Jumaat lepas, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan sebagai menggesa PH membubarkan segera Parlimen kerana didakwa terbukti gagal memastikan kestabilan politik dan keharmonian dalam negara.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata pilihan raya juga tidak perlu diadakan kerana kerajaan seolah-olah terpalit dengan dengan politik kotor dan menjijikkan terutama dalam dakwaan kes video lucah, rogol dan rasuah.

"Isu video lucah dan rasuah untuk menjatuhkan seseorang telah memberikan impak dan membuatkan orang ramai menjadi mual dan sudah tentu memberikan kesan secara tidak langsung kepada kerajaan.

"Saya tidak berpihak kepada sesiapa kerana politik kotor dan jijik modalnya cuba untuk mendedahkan perkara yang mengaibkan dan menjatuhkan seseorang," katanya.

Sementara itu, Dr Mujahid berkata pihaknya memberikan sumbangan RM50 setiap seorang kepada 200 pelajar bagi Parlimen Parit Buntar untuk membuka akuan simpanan dalam Sijil Simpanan Pendidikan Negara (SSPN).

Katanya ia bertujuan membantu ibu bapa keluar dari kemiskinan melalui pendidikan anak dengan menampung kos pendidikan yang semakin meningkat.

--BERNAMA

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel