Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Piala FA 2019: penyokong Lang Merah diminta jaga adab ketika beli tiket


Tarikh kemaskini: 21/07/2019





ALOR SETAR, 21 Julai (Bernama) -- Penyokong-penyokong skuad Lang Merah diingatkan supaya tidak melampau batas, semasa membeli tiket perlawanan akhir Piala FA 2019 di kaunter Stadium Darul Aman yang akan dijual pada Selasa ini (23 Julai).

Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Mohd Asmirul Anuar Aris berkata mereka diminta menjaga tingkah laku dengan tidak berebut-rebut, ketika membeli tiket itu kerana 20,000 tiket akan dijual secara telus, di kaunter yang dibuka bermula pada pukul 10.30 pagi.

Beliau berkata KFA akan bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memantau penjualanan tiket serta keselamatan, di perkarangan stadium dalam usaha memastikan tiada ketirisan berlaku sepanjang penjualan tiket itu berlangsung.

"Saya juga akan turun memantau di stadium sehari dua ini, saya minta peminat jangan bimbang sebab kita ada 20,000 tiket yang akan dijual di kaunter, mereka juga boleh datang seperti biasa di sebelah pagi dan kaunter akan dibuka bermula jam 10.30 pagi hingga tiket habis dijual.

"Tak perlulah pasang khemah tidur di perkarangan stadium, kita tak mahu kejadian seperti musim-musim lalu berulang sampai ada yang pengsan, tolak menolak sampai rosak penghadang besi. Sebagai orang Kedah jagalah adab kita, tambahan pula kita adalah negeri kelahiran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya kepada pemberita pada Program Seminar Usahawan Tani Kedah di sini hari ini.

Mohd Asmirul yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Keusahawanan Kedah berkata jumlah 20,000 tiket yang akan dijual di kaunter itu, merupakan agihan daripada jumlah 30,000 tiket diperuntukkan Malaysian Football League (MFL).

Pada 27 Julai ini, Kedah akan bertemu Perak, merebut trofi Piala FA 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kali terakhir Lang Merah membawa pulang Piala FA adalah dua tahun lalu, apabila menumpaskan Pahang 3-2 dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel