Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

USM bantu Universiti selatan Thailand perkasa Bahasa Melayu


Tarikh kemaskini: 21/07/2019





KOTA BHARU, 21 Julai (Bernama) -- Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkasakan usaha memartabatkan Bahasa Melayu ke peringkat global dengan menyediakan kursus Bahasa Melayu secara percuma kepada 31 mahasiswa Pricess Of Naradhiwas University (PNU), selatan Thailand.

Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USM Prof Dr Aldrin Abdullah berkata kursus itu dilaksanakan oleh pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan (PBLT) USM selama lapan jam seminggu untuk satu semester bermula April lepas di PNU bagi membantu mahasiswa universiti itu mendalami Bahasa Melayu.

"Khidmat sosial ini kita lakukan selepas termeterainya memorandum persefahaman (MoU) antara USM dan PNU pada 2015. Hasil persefahaman itu kita telah membuka ruang kepada tenaga pengajar menjalankan proses pengajaran secara percuma kepada mahasiswa PNU yang sangat berminat menguasai Bahasa Melayu dalam keadaan mereka yang agak terbatas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Penutup Program Lawatan Sambil Belajar Pelajar Jurusan Bahasa Melayu PNU di USM Kubang Kerian di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Kampus Kesihatan USM Prof Dr Adam Husein dan Ketua Jabatan Jurusan Bahasa Melayu Fakulti Seni Liberal PNU Shahidin Nitiphak.

Program lawatan selama tiga hari bermula Jumaat (19 Julai) lepas itu disertai 26 mahasiswa dan lima pensyarah PNU dan turut mendapat kerjasama Persatuan Peradaban Melayu Kelantan (Peradaban) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur.

Antara pengisian utama program tersebut termasuk ceramah kesedaran dan potensi Bahasa Melayu di ASEAN yang disampaikan oleh Presiden Peradaban Datuk A Aziz Deraman.

Aldrin berkata jalinan akademik itu menjadi platform kepada pelajar PNU mendapatkan pendedahan lebih luas dan potensi melanjutkan pengajian ke USM pada peringkat yang lebih tinggi.

Sementara itu, pengarah program berkenaan Mohd Shah Imran Abdullah berkata kerjasama dengan PNU itu adalah usaha terkini USM untuk membantu meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat Melayu-Islam di Selatan Thailand yang hampir dua juta penduduknya menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan di rumah.

Beliau yang juga pensyarah PBLT yang sudah empat bulan mengajar Bahasa Melayu di PNU berkata usaha itu penting supaya pelajar jurusan Bahasa Melayu di negara Gajah Putih itu tidak membataskan kerjaya selepas tamat pengajian dengan hanya menjadi guru, ustaz atau ustazah sahaja.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel