Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

KBS lulus permohonan naik taraf balapan, stadium Kompleks Sukan dan Rekreasi MPSP


Tarikh kemaskini: 21/07/2019





BUKIT MERTAJAM, 21 Julai (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menaik taraf dan membaiki balapan serta stadium di Kompleks Sukan dan Rekreasi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di Jalan Betek, di sini berikutan tempat itu antara tumpuan orang ramai bersukan dan beriadah.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata kementeriannya menunggu permohonan lengkap berhubung kerja naik taraf serta baik pulih itu, sebelum menentukan jumlah peruntukan yang akan disalurkan.

"Saya lihat hari ini ramai orang hadir sempena Program Fit Malaysia di sini (Kompleks Sukan dan Rekreasi MPSP) dan menurut Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong yang juga Timbalan Menteri KBS, tempat ini memang selalu menjadi tumpuan orang ramai beriadah serta bersukan.

"Sebab itu Yang Berhormat Sim minta KBS naik taraf serta baik pulih balapan dan stadium. Jadi, hari ini saya umumkan permohonan tersebut diluluskan. Ini kawasan (Parlimen) timbalan menteri saya, jadi kita perlu bagi perhatian khusus," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Fit Malaysia Zon Utara di Kompleks Sukan dan Rekreasi MPSP, di sini hari ini.

Turut hadir Sim, Ketua Setiausaha KBS Dr S. Waitchalla, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Soon Lip Chee dan barisan pemimpin Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Kira-kira 25,000 orang menyertai program Fit Malaysia anjuran KBS yang berteraskan matlamat merakyatkan sukan semua peringkat akar umbi, serta membudayakan sukan bagi kesejahteraan serta kesepaduan negara.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata sambutan program itu di Pulau Pinang sangat baik, malah menerima penyertaan tertinggi setakat ini dan ia sesuatu yang membanggakan.

Beliau berkata Pulau Pinang merupakan lokasi ketiga penganjuran program Fit Malaysia selepas Selangor bagi Zon Tengah dan Terengganu (Zon Pantai Timur) yang sebelum ini dihadiri kira-kira 17,600 orang.

"Saya berbangga dan gembira melihat semangat kesukanan yang ditunjukkan rakyat berbilang kaum di negeri ini. Ketika saya sampai pagi tadi masih ramai lagi peserta masih berdaftar untuk menyertai Fit Malaysia malah ada peserta berusia lebih 80 tahun masih lagi kuat, datang menunjukkan sokongan.

“Pihak kementerian berharap rakyat akan terus membudayakan amalan bersukan ini untuk edisi jelajah akan datang, yang akan kita adakan di Johor bagi Zon Selatan dan Sabah (Zon Timur Malaysia) tidak lama lagi,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel