Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penduduk Felda Chemplak bangga persembah sukan rakyat kepada Sultan Johor


Tarikh kemaskini: 21/07/2019





SEGAMAT, 21 Julai (Bernama) -- Penduduk Felda Chemplak di Labis, di sini, bangga mempersembahkan keunikan sukan rakyat mereka tersendiri, iaitu pertandingan menunggang basikal tua paling perlahan di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.

Sukan rakyat itu dipersembahkan pada keberangkatan Sultan Ibrahim dan kerabat Diraja Johor ke Felda berkenaan sempena hari kedua Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2019.

Timbalan Pengerusi Persatuan Kelab Speda Tua Chemplak Rosli Md Saleh berkata, sukan rakyat itu turut dipertandingkan di negeri lain seperti Melaka dan Negeri Sembilan, namun di Johor, ia hanya ada di Felda Chemplak sahaja.

"Ini adalah keunikan kami warga Felda Chemplak ini dan ramai bertanya kenapa pertandingan menunggang basikal perlahan? Saya jawab, disebabkan basikal ini adalah basikal tua, jadi bawa pun kena perlahanlah.

"Kita berasa amat bangga dapat persembahkannya di hadapan Sultan Johor dan sebenarnya ini adalah persembahan kedua kami di hadapan baginda," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Rosli berkata, Persatuan Kelab Speda Tua Chemplak juga menerima undangan daripada Indonesia, untuk membuat persembahan basikal tua paling perlahan, di sana.

"Di Felda Chemplak, warga belia juga menunjukkan minat untuk sertai selain untuk suka-suka. Ini membuktikan bahawa basikal tua dan pertandingan seperti ini ada keunikannnya yang tersendiri,” katanya.

Terdahulu, Sultan Ibrahim tiba di Felda Chempelak pada 8.30 pagi tadi, dengan menaiki motosikal berkuasa tinggi bersama kerabat Diraja Johor dan rombongannya.

Sultan Ibrahim turut berkenan menunggang motosikal kapcai dan bersiar-siar di kawasan felda itu, untuk melakukan pelbagai aktiviti termasuk menyaksikan demonstrasi masakan cendawan goreng tepung, gotong royong memasak bubur lambuk dan minum pagi bersama golongan belia felda.

Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah pula berkenan melihat beberapa demonstrasi seperti membuat bahulu dan kuih-kuih, pameran orkid serta pameran kraftangan kayu.

Anakanda Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar pula menyertai beberapa aktiviti termasuk menyumpit belon air dan tarik tali.

Sultan Ibrahim yang meluangkan masa lebih sejam di Felda Chempelak, kemudiannya berkenan berangkat meneruskan perjalanan ke destinasi kedua di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kota Paloh, Kluang.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel