Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lukisan mural beri kepuasan berbeza kepada pelukis


Tarikh kemaskini: 21/07/2019





BALIK PULAU, 21 Julai (Bernama) -- Berbekalkan minat yang mendalam dalam bidang seni lukis, seorang lelaki memberanikan diri berhenti kerja seterusnya menjadi pelukis mural sepenuh masa. 

Nasrul Hisham Jamaludin, 43, nekad meninggalkan kerjayanya sebagai pereka kostum yang diceburi selama 15 tahun dan mengambil keputusan membuka perniagaan sebagai pelukis mural sepenuh masa dengan nama, NashArt.

"Semasa saya bekerja sebagai pereka kostum saya hanya melukis potret, mural dan seumpama secara sambilan. Bila dah lama tu saya rasa macam boleh untuk saya jadi pelukis sepenuh masa, jadi saya berhenti kerja. Saya kemudiannya buka perniagaan di Ipoh dengan melukis mural, potret dan pada masa sama saya juga ada buat kostum. 

"Selain itu, saya adakan bengkel melukis mural untuk orang ramai. Untuk menjana pendapatan saya tak boleh fokus pada satu perkara sahaja saya kena pelbagaikannya. Marketing kena pandai," katanya kepada Bernama.

Nasrul Hisham ditemui ketika lawatan mural oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik di Flat Lili, di sini semalam.

Nasrul Hisham bersama empat lagi pelukis tempatan diberi peluang untuk melukis mural di dinding Flat Lili, Flat Hijau, Flat Seri Indah dan Pekan Kongsi di sini bersempena dengan sambutan Festival Balik Pulau 2019 yang berlangsung selama tiga hari.

Anak kelahiran Titi Teras, di sini itu berkata, melukis mural memberi lebih kepuasan berbanding melukis di atas kanvas kerana lukisan mural lebih dekat dengan masyarakat selain ruang yang luas untuk berkarya.

"Lukisan potret misalnya kita hanya dapat lihat di Balai Seni dan pameran sahaja. Kalau lukis dekat dinding ni ramai orang boleh tengok dan saya rasa lukisan itu lebih dihargai oleh masyarakat… memang beri kepuasan berbeza," katanya.

Beliau telah melukis sebanyak lapan mural di bandar Kajang, Ipoh dan pekan Bagan Datuk sejak lima tahun menjadi pelukis mural.

Kerjaya sebagai pelukis mampu menjana pendapatan yang lumayan sekiranya pelukis itu bijak mengambil peluang dan tahu strategi pemasaran, katanya.

"Saya banyak tunjuk hasil karya di Facebook NashArt dan dari situ saya dapat 'job' melukis mural.  Untuk job di Balik Pulau ni pihak Balai Seni Negara telefon saya selepas tengok Facebook saya," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelukis mural, Amir Andhar Abu Samah, 25, berkata selepas menamatkan pengajian dalam bidang seni lukis pada 2014 beliau memilih untuk menjadi pelukis mural sepenuh masa.

Berkongsi pendapat yang sama, beliau berkata melukis mural lebih memberi kepuasan kerana menyifatkan lukisan di atas kanvas agak terhad.

"Bila lukis atas kanvas, 'viewer' tak meluas. Kepuasan itu lebih bila lukis mural ni sebab kita melukis untuk orang tengok. Rasa seronok bila kita lukis orang tengok hasil kerja kita. Kita boleh tunjuk apa yang kita boleh buat," katanya yang gemar melukis mural bermotifkan figuratif.

Beliau berkata hasil karyanya boleh dilihat di kawasan sekitar Butterworth, Bagan Luar dan Kuala Lumpur serta di Singapura.

Ditanya mengenai pihak yang gemar memanggil pelukis mural luar negara berbanding pelukis tempatan, Amir Andhar berkata, pelukis tempatan tidak perlu berasa dengki atau tidak puas hati, sebaliknya berusaha untuk menjadi yang terbaik dengan menunjukkan bakat yang ada.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel