Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pembeli diingatkan buat persediaan secukupnya sebelum beli rumah idaman


Tarikh kemaskini: 20/07/2019




JOHOR BAHRU, 20 Julai (Bernama) -- Para pembeli rumah di negeri ini dinasihatkan supaya sentiasa membuat persediaan yang secukupnya untuk membeli rumah yang diidamkan.

Kesediaan ini termasuk dari segi kewangan dan pemahaman mereka mengenai jenis rumah yang ditawarkan oleh pihak pemaju, kata Setiausaha Bahagian di Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor (Bahagian Perumahan) Mohd Radzi Mohd Amin.

“Kesediaan ini (kewangan) penting untuk bayaran deposit. Kebanyakan pinjaman bank yang diluluskan adalah sebanyak 85 peratus sahaja, jadi bermakna pembeli kena sediakan bayaran sebanyak 15 peratus lagi untuk deposit.

“Selain itu, ada juga pemohon (pembeli rumah) yang tidak faham tentang jenis rumah yang dipohon, seperti town house dan rumah strata. Lepas mendapat Sijil Layak Memiliki Rumah (SLMR) dan tengok rumah yang ditawarkan, baru mereka beritahu tak nak rumah jenis tersebut, walhal dalam iklan kami (kerajaan negeri/pemaju) telah dinyatakan jenis-jenis rumah tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pengundian Terbuka Rumah Mampu Biaya (RMB)  Johor jenis C (RMB C) Taman Meridin East Fasa 1 di Jalan Kong Kong, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Wilayah Selatan Mah Sing Group, Benjamin Ong dan Mah Sing merupakan pemaju kepada projek RMB Taman Meridin East Fasa 1 berkenaan.

Mohd Radzi berkata adalah menjadi kerugian jika pembeli rumah yang berjaya mendapat SLMR itu tidak dapat meneruskan pembelian mereka, hanya gara-gara tidak membuat persediaan dengan sebaiknya.

Mengenai projek RMB Taman Meridin East itu, Mohd Radzi berkata ia adalah rumah berkonsepkan ‘rumah bandar’ yang berharga hanya RM150,000.

Kemajuan kerja pembinaan projek yang melibatkan 102 unit itu kini baru memasuki kira-kira 10 peratus dan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.

“Untuk makluman, kami menerima permohonan 11,422 orang untuk projek ini dan daripada jumlah itu, seramai 559 pemohon didapati tidak layak dan telah pun ditolak, manakala 9,582 pemohon lagi layak tetapi turut ditolak kerana mereka gagal menghantar dokumen yang diperlukan dalam tempoh 14 hari.

Oleh itu, hanya 1,281 orang saja yang benar-benar layak selepas berjaya menghantar dokumen dan hari ini, telah dijemput untuk majlis pengundian terbuka dan menerima SLMR.

“Jadi kepada mereka ini, kami memohon agar mereka mempercepatkan usaha mendapatkan pinjaman kerana SLMR yang diberikan mempunyai tempoh sah laku selama dua bulan sahaja. Jika gagal mendapatkan pinjaman, rumah tersebut akan ditawarkan kepada pemohon rezab atau menunggu,” katanya.

-- BERNAMA  


 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel