tPNq_CLgGLY Harimau berkeliaran di Kampung Besul lama berjaya ditangkap
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Harimau berkeliaran di Kampung Besul lama berjaya ditangkap


Tarikh kemaskini: 19/07/2019





DUNGUN, 19 Julai (Bernama) --  Seekor harimau jantan yang berkeliaran di Kampung Besul Lama, Bukit Besi di sini, semalam, akhirnya berjaya ditangkap dalam operasi yang dijalankan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, hari ini..

Pengarahnya, Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata harimau daripada spesies Malaya yang dianggarkan seberat 130 kilogram itu berjaya ditangkap kira-kira jam 3.30 petang tadi selepas ditembak menggunakan ubat pelali.

Beliau berkata haiwan yang dianggarkan berusia lima tahun itu ditangkap ketika sedang berehat di kawasan belukar sekitar 500 meter dari jalan utama Kampung Besul Lama.

"Kita menggunakan kekuatan lapan anggota untuk mengangkat harimau tersebut ke atas lori.

"Ia (harimau) tersebut akan dihantar terus ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar  Kebangsaan (NWRC) Perhilitan di Sungkai, Perak untuk menerima rawatan dan ditempatkan di sana," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Besul Lama selepas selesai operasi tersebut.

Dr Abdul Malek berkata walaupun harimau tersebut telah berjaya ditangkap namun operasi mengesan seekor lagi harimau seperti didakwa penduduk masih diteruskan sehingga situasi benar-benar selamat.

Sementara itu Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Besul Lama, Nasharudin Mohd Salleh berkata penduduk kampung kini boleh menarik nafas lega dan tidur lena dengan tertangkapnya haiwan liar berkenaan.

Beliau, yang mewakili penduduk kampung, mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada pasukan polis dan Perhilitan yang bertugas 24 jam sehari menjaga keselamatan penduduk dan menjalankan operasi menangkap haiwan itu.

"Mengikut maklumat Perhilitan operasi akan dijalankan selama tiga hari lagi untuk mengesan seekor lagi harimau yang didakwa turut berkeliaran di sini.

"Bagaimanapun perkara itu (dua ekor harimau) hanya berdasarkan dakwaan penduduk kerana operasi yang dijalankan hanya menemui tapak kaki seekor harimau sahaja," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel