Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

15 usahawan luar bandar sertai Ekspo Malaysia Fest di Singapura


Tarikh kemaskini: 19/07/2019





PUTRAJAYA, 19 Julai (Bernama) -- Seramai 15 usahawan luar bandar terpilih menyertai program ‘Rural to Global’, bagi membantu mereka menembusi pasaran antarabangsa, menerusi penglibatan dalam pameran Ekspo Malaysia Fest 2019, yang akan berlangsung di Singapura bermula 25 Julai.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata kementeriannya menganjurkan ‘Rural to Global’ yang turut merangkumi program meningkatkan kapasiti produk seperti pembungkusan, penjenamaan dan pensijilan bagi membolehkan produk luar bandar, dapat bersaing di peringkat global.

“Pada tahun ini kementerian bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bagi mengenal pasti ekspo antarabangsa di dalam dan luar negara, yang bersesuaian untuk disertai para usahawan di bawah bimbingan kementerian,” katanya pada sidang media selepas majlis pelepasan Usahawan ke Ekspo Malaysia Fest 2019 di sini hari ini.

Rina berkata melalui kerjasama Matrade, para usahawan dibantu meningkatkan pengetahuan asas persediaan dan keperluan yang perlu dipenuhi, untuk mengeskport barangan mereka ke luar negara.

“Pada tahun hadapan kami merancang untuk meneruskan program ‘Rural to Global’ ini dengan menyertai ekspo antarabangsa di Dubai dan Jepun dan akan memilih usahawan lain yang berpotensi,” katanya.

Ekspo Malaysia Fest 2019 anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) bersama-sama syarikat MegaXpress International Pte.Ltd akan diadakan selama empat hari bermula 25 Julai di Singapore Expo, Changi, Singapura.

Sementara itu, ditanya berkenaan harapan pada pembentangan Pelan Perancangan dan Pembangunan Kampung Baru oleh Perbadanan Kemajuan Kampong Bharu (PKB) kepada Kementerian minggu hadapan, Rina berkata beliau berharap pelan tersebut dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

Katanya beliau berharap pelan itu dapat dilaksanakan segera dan mendapat kerjasama semua pihak, khususnya para penduduk, memandangkan pelbagai isu yang membabitkan kampung tersebut telah berlarutan sejak sekian lama.

“ Walau macam mana baik pun perancangan jika ada yang menolak, akhirnya tidak akan capai ke mana, maka ia perlu mendapat komitmen seluruh pihak yang terlibat dan paling penting ia harus memberi manfaat kepada semua,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Henry Golding tersenarai dalam Time 100 Next

 
     

Produk plastik satu daripada industri paling rancak di Malaysia - Dr Ong

 
     

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel