Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lebih 240,000 pelajar terlibat dalam Program Bimbingan Seni Budaya sejak 2006


Tarikh kemaskini: 19/07/2019




KOTA KINABALU, 19 Julai (Bernama) -- Seramai 246,401 pelajar di seluruh negara terlibat dalam Program Bimbingan Seni Budaya (PBSB) sejak program itu diperkenalkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) pada 2006 sehingga tahun ini. 

Ketua Pengarah JKKN Tan Sri Norliza Rofli berkata PBSB juga merekodkan penyertaan 2,376 jurulatih seni budaya yang mengajar di 9,626 sekolah seluruh negara dalam tempoh itu.

Beliau berkata di Sabah, PBSB yang dilaksanakan tahun ini melibatkan seramai 250 pelajar daripada 10 sekolah rendah dan sekolah menengah, dengan 10 jurulatih mengajar pelbagai bidang seni termasuk tarian, teater, muzik, permainan gasing dan silat. 

"JKKN memberi perhatian mengenai pendedahan awal pelajar sekolah rendah dan menengah dalam bidang seni budaya melalui PBSB kerana ia mampu menanam minat dan keazaman golongan ini untuk berjaya pada masa akan datang.

"Saya juga yakin penyertaan pelajar dalam pertandingan seni budaya seperti tarian akan memberi impak tinggi terhadap keyakinan mereka untuk menempuhi cabaran menjuarai pertandingan," katanya berucap pada majlis penyerahan sijil penghargaan kepada pemenang Dance World Cup 2019 di Kompleks JKKN Sabah di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Norliza turut menyampaikan sijil penghargaan kepada pelajar dan guru pengiring daripada lima sekolah di Sabah yang mewakili Malaysia dalam pertandingan berkenaan. 

Sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad Stephens Kiulu; Sekolah Kebangsaan (SK) Mutiara, SK Stella Maris; Sekolah Rendah Kebangsaan ST Agnes; dan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) ST James Likas.

Norliza berkata penghargaan itu adalah motivasi kepada pelajar, guru dan jurulatih untuk terus melakukan terbaik dalam usaha membawa keunikan dan keindahan seni tarian Sabah dalam pertandingan di masa akan datang.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Nelayan hilang ditemui lemas di Kuala Dungun pagi ini - bomba

 
     

Pekan Rantau Panjang kembali pulih

 
     

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel