Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jauhi lokasi penemuan harimau - Polis


Tarikh kemaskini: 19/07/2019





DUNGUN, 19 Julai (Bernama) -- Polis memohon kerjasama orang ramai supaya menjauhi lokasi penemuan harimau di Kampung Besul, Bukit Besi di sini bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Baharudin Abdullah berkata keadaan pada masa ini belum selamat sepenuhnya, memandangkan harimau berkenaan masih belum ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Beliau berkata tindakan segelintir penduduk kampung dan orang luar yang menjadikan lokasi kejadian itu seolah-olah suatu pesta amat dikesalkan dan diharap tidak akan berulang lagi. 

"Walaupun harimau itu dikatakan jinak, ia tetap haiwan liar dan kami amat bimbang dengan tindakan orang ramai yang seolah-olah tidak mempedulikan keselamatan diri.

"Tindakan provokasi seperti menyentuh dan mengerumuni haiwan itu mungkin akan menyebabkannya menjadi agresif dan jika berlaku serangan siapa yang patut dipersalahkan?," katanya ketika dihubungi hari ini.

Susulan kejadian itu Baharudin berkata pihaknya telah mengarahkan anggota polis dari Balai Polis Bukit Besi untuk mengawal keadaan di lokasi kejadian yang pada ketika ini masih didatangi pengunjung  dari luar.

Orang ramai perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa seperti polis dan Perhilitan menjalankan tugas masing-masing demi memastikan keselamatan mereka.

"Kepada mereka yang terpaksa melalui kawasan berkenaan kerana ada urusan yang tidak dapat dielakkan tolong berwaspada dan peka dengan keadaan sekeliling.

"Untuk sementara waktu ini  kurangkan juga aktiviti luar dan elakkan keluar malam sekiranya tidak ada urusan yang benar-benar perlu," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Wakil jabatan audit mengaku rakam mesyuarat "pinda laporan audit 1MDB"

 
     

Pasukan audit 1MDB terkejut dengar gugur penyata kewangan - Saksi

 
     

Johor umum bantuan khas kewangan sebulan gaji buat penjawat awam negeri

 
     

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel