Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jaga adab dan tatatertib pada persidangan DUN - Adly


Tarikh kemaskini: 18/07/2019





MELAKA, 18 Julai (Bernama) -- Ketua Menteri Melaka Adly Zahari mahu semua wakil rakyat negeri ini supaya sentiasa menjaga adab dan tatatertib terutamanya ketika sedang berbahas pada  persidangan Dewan Undangan Negeri.

Beliau berkata sebagai seorang pemimpin, mereka  perlu saling menghormati antara satu sama lain tanpa mengira ideologi politik dengan menjadikan dewan sebagai medan terbaik bagi membincangkan isu berkaitan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

"Saya sentiasa mengingatkan kepada semua (wakil rakyat) termasuk diri sendiri agar menggunakan dewan itu sebaiknya yang mana keutamaan kita adalah mendukung kepentingan rakyat dalam melaksanakan amanah dan tugasan yang diberikan.

"Selain itu, kita juga mahu agar 'diasingkan' perkataan-perkataan yang menghina ini kepada individu sama ada melibatkan kerajaan atau pun wakil pembangkang (bagi mengelakkan tercetusnya provokasi)," katanya kepada pemberita di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Pada Selasa lepas, Persidangan DUN ke-14 Melaka kecoh apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee mengeluarkan perkataan ‘UMNO mati tinggalkan hutang’ yang kemudian menimbulkan perbalahan dengan beberapa anggota pembangkang.

Sementara itu ketika sesi Dewan, Adly menasihati pemimpin di negeri ini  agar menjadi pelindung kepada rakyat dalam menjalankan amanah sebagai wakil yang dipilih oleh rakyat.

Adly yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil berkata dalam buku pemikiran Melayu, ‘Sulalatus Salatin’ ada menyebut bahawa pemimpin sebagai pelindung yang di ibaratkan sebagai pohon atau pokok yang melindungi apa sahaja yang berada dibawahnya.

 “Ada dicatatkan dalam buku tersebut (Sulalatus Salatin) bahawa, pohon yang rendang di tengah padang, batangnya untuk tempat bersandar, dahan untuk bergantung, buahnya untuk dimakan dan duan untuk berlindung membawa maksub tersirat dan  ianya merupakan gambaran bagimana seseorang pemimpin itu dinilai,”katanya ketika menggulung perbahasan.

Pada persidangan DUN selama empat hari itu  yang bermula 14 Julai  sebanyak 15 soalan bertulis   dijawab oleh wakil kerajaan dan meluluskan satu usul iaitu Rang Undang-undang Industri Berasaskan Kayu (Pindaan) 2019 dengan sebulat suara.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     

Semua sekolah di Putrajaya dibuka esok

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel