Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Insiden sesak nafas Pasir Gudang : Tiga kilang catat bacaan gas Metil Merkaptan tinggi


Tarikh kemaskini: 18/07/2019





JOHOR BAHRU, 18 Julai (Bernama) -- Tiga kilang berasaskan bahan kimia di Pasir Gudang telah dikenal pasti mencatatkan bacaan gas Metil Merkaptan yang tinggi.

Gas itu didapati menyumbang kepada insiden sesak nafas dan muntah-muntah yang sehingga kini masih berlaku di Pasir Gudang.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Norlin Jaafar berkata ketiga-tiga kilang itu berada dalam radius hanya tiga kilometer dari Sekolah Agama Taman Mawar dan Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4, dua sekolah yang pertama kali terjejas akibat insiden itu. 

Beliau berkata kehadiran gas pada bacaan 134 partikel per sejuta (ppm) itu melebihi kadar yang dibenarkan oleh JAS untuk dilepas ke udara iaitu sebanyak 40 ppm.

Bacaan dikesan pada hari kedua dan ketiga (sebelah siang dan malam) selepas kejadian dengan gas dipercayai terhasil akibat proses pengeluaran bahan seperti baja, plastik dan lain-lain, katanya. 

“Sebenarnya pada tahap 10 ppm pun, gas ini sudah boleh dikesan dan ia juga boleh memberi kesan dan simptom itu (gejala sesak nafas dan muntah-muntah) seawal pada bacaan 20ppm jika seseorang tidak tahan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Norlin berkata selain gas itu, JAS juga mengesan dua lagi gas iaitu akrolein dan akrilonitril dari ketiga-tiga kilang berkenaan, namun bacaan kedua-dua gas itu terlalu rendah untuk mencetuskan simptom sesak nafas dan muntah-muntah.

“Sekarang ini, kilang-kilang tersebut telah dikenakan perintah tahanan operasi kelengkapan yang bermaksud memang tidak boleh beroperasi.

“Kita juga dalam usaha untuk melengkapkan kertas siasatan termasuk mengumpul bukti dan mengambil keterangan, sebelum membuat pendakwaan di mahkamah,” katanya. 

Norlin berkata meskipun tiga kilang itu telah ditahan operasi, momentum pemantauan terhadap kilang-kilang lain akan terus dijalankan termasuk membabitkan kilang-kilang haram kerana pada masa ini, masih terdapat simptom sesak nafas dan muntah dilaporkan berlaku di sekolah berhampiran iaitu dengan kes terbaharu di Sekolah Kebangsaan Tanjung Puteri Resort.

“Memang betul kita telah menahan operasi kilang terbabit tetapi sehingga kini kita masih tidak menemui kaitannya dengan ujian darah dan air kencing pelajar.

“Oleh itu, selagi belum menemui punca sebenar, kita akan meneruskan pemantauan selain membuat kajian analisis beban dan daya tampung pencemaran bagi menilai dan menganalisis zon penampan, keadaan kualiri udara, air sungai, air bawah tanah serta potensi tanah tercemar yang boleh menyebabkan pencemaran udara di Pasir Gudang,” katanya.

Beliau berkata mengikut rekod JAS, kesemua 257 kilang berasaskan kimia di Pasir Gudang telah selesai diperiksa dan usaha pemantauan kini lebih menjurus kepada kilang-kilang haram.

“Daripada rekod awal pihak Majlis Perbandaran Pasir Gudang dan Pejabat Tanah dan Galian negeri, dipercayai terdapat 18 kilang haram beroperasi di Pasir Gudang namun tiga sudah diserbu. 

“Selebihnya akan diperiksa kemudian dan tindakan akan diambil oleh agensi-agensi yang bertanggungjawab,” katanya.

Terdahulu, Norlin memberitahu pihaknya bersedia memberi ganjaran kira-kira RM5,000 kepada mana-mana orang awam yang menyalurkan maklumat tulen berhubung sebarang insiden pencemaran di negara ini.

Pemberian ganjaran itu katanya telah diperuntukkan dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan maklumat peribadi penyampai maklumat dilindungi.

-- BERNAMA 

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel