Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pelan Rancangan Pembangunan Kampung Baru dibentang minggu depan - Rina


Tarikh kemaskini: 18/07/2019





KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Kampong Bharu (PKB) akan membentangkan Pelan Perancangan dan Pembangunan Kampung Baru kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar minggu depan, kata menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun.

“Kita dah ada kerangka perancangan yang dibuat...sepatutnya pembentangan oleh Perbadanan Kemajuan Kampong Bharu itu diadakan dua minggu lepas tetapi ditangguh ke minggu hadapan,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai perkembangan kawasan segi tiga emas itu.

Rina, yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, berkata pihaknya masih menunggu pembentangan oleh perbadanan itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan kepada sekolah-sekolah Parlimen Titiwangsa, di sini, hari ini. Sebanyak 33 buah sekolah menerima sumbangan yang merangkumi 9 buah Sekolah Menengah Kebangsaan, 14 buah Sekolah Kebangsaan, empat buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil serta enam buah Sekolah Agama. 

Rina berkata sumbangan itu bertujuan memberi kesejahteraan kepada pelajar-pelajar sekolah dalam kawasan Parlimen Titiwangsa serta membeli keperluan berkaitan bagi meningkatkan kecemerlangan pelajar.

Dalam perkembangan lain, Rina mengulangi pendiriannya bahawa beliau bakal bertanding mengekalkan jawatan Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pemilihan parti itu akan datang.

“Saya sebagai Ketua Srikandi Bersatu sudah tentu akan pertahankan jawatan itu, masih banyak lagi agenda untuk pembangunan wanita yang akan saya teruskan,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata Bersatu akan mengadakan mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada Sabtu ini (20 Julai) bagi membolehkan perlembagaan parti itu dipinda.

Dr Mahathir berkata pindaan itu perlu dilakukan kerana terdapat beberapa kekurangan pada perlembagaan Bersatu ketika ini, selain bagi memastikan perjalanan pentadbiran parti yang lebih licin.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel