Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pertambahan kerusi DUN Sabah dapat kurangkan jurang pemilih


Tarikh kemaskini: 18/07/2019





PUTRAJAYA, 18 Julai (Bernama) -- Pertambahan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dapat mengurangkan jurang pemilih dan mewujudkan perwakilan yang seimbang khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman negeri itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Viu Keong.

Ahli Parlimen Batu Sapi itu berkata hampir kesemua kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah menerima tambahan kerusi baharu.

“Walau bagaimanapun, keseimbangan pemilih bukanlah satu-satunya faktor utama yang perlu diberi pertimbangan, sebaliknya urusan persempadanan ini bertujuan memudahkan wakil rakyat memberi perkhidmatan kepada rakyat untuk membela nasib mereka.

“Selain itu, saya melihat urusan persempadanan ini juga akan merancakkan sosioekonomi negeri Sabah khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman ke arah meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya semasa berucap merasmikan forum 'Make A Change, Let’s Do It Together', di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Azhar Azizan Harun.

Dewan Rakyat semalam meluluskan Kajian Semula Persempadanan Bagi Bahagian-Bahagian Pillihan Raya Negeri Sabah, yang melibatkan pindaan komposisi keahlian DUN Sabah daripada 60 kerusi kepada 73 kerusi.

Sementara itu, menyentuh mengenai penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun, Liew berkata ia merupakan satu titik penting ke arah demokrasi negara.

“Dalam usaha untuk memperkasa golongan muda supaya terlibat dalam proses demokrasi, langkah (penurunan had umur mengundi) ini, memberi peluang, ruang dan suara kepada mereka untuk sama-sama berganding bahu dalam mencorak demokrasi Negara melalui pilihan raya,” katanya.

Sejarah tercipta pada Selasa lepas (16 Julai) apabila Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had usia mengundi daripada 21 kepada 18 tahun dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel