Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Perhilitan Johor gagalkan cubaan seludup keluar 260 burung Murai Batu


Tarikh kemaskini: 18/07/2019





KOTA TINGGI, 18 Julai (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor berjaya menggagalkan cubaan seludup keluar 260 ekor burung Murai Batu ke negara jiran, dua hari lepas.

Pengarah Perhilitan Johor Salman Saaban berkata kesemua burung berkenaan ditemui dalam 23 sangkar di kawasan Hentian Rehat Layang, Lebuhraya Senai-Desaru.

"Berdasarkan maklumat awam, pasukan penguatkuasa Perhilitan Johor menemui kesemua haiwan tersebut pada kira-kira 2 pagi yang dipercayai sedang dalam siap sedia untuk dipindahkan kepada penyeludup sebelum dihantar menggunakan jalan laut ke Indonesia," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Salman berkata tiada tangkapan dilakukan kerana suspek berjaya melarikan diri dari ditahan pasukan penguatkuasa Perhilitan Johor.

Beliau berkata kawasan Hentian Rehat Layang menghala ke Bandar Penawar, Kota Tinggi, dipercayai dijadikan kawasan penyerahan hidupan liar itu kerana kawasan tersebut mempunyai banyak laluan keluar alternatif untuk mengelakkan ditangkap pihak berkuasa.

Katanya, Murai Batu mendapat permintaan tinggi di negara jiran dan boleh dijual antara RM1,000 hingga RM2,000 seekor bergantung kepada kecantikan serta kemerduan suaranya.

"Murai Batu merupakan spesies yang dilindungi di bawah Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

"Sesiapa yang memburu atau menyimpan hidupan liar yang dilindungi boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan," katanya.

Sehubungan itu, Salman menggesa orang ramai terus bersama-sama menyalurkan sebarang maklumat kepada Perhilitan Johor bagi mencegah kegiatan jenayah hidupan liar.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel