Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Talian bantuan untuk cegah bunuh diri


Tarikh kemaskini: 18/07/2019





Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BUTTERWORTH, 18 Julai (Bernama) -- Bagi mereka yang mengalami kemurungan atau mungkin juga terfikir untuk membunuh diri, Sneham Malaysia Welfare Association melancarkan satu talian bebas tol 1800 22 5757 untuk memberi kaunseling dan sokongan emosi.

Talian bantuan bebas tol ini beroperasi setiap hari dari pukul 4 petang hingga 8 malam.

Khidmat bantuan ini dilancarkan sejak 14 Jan lepas dan sasaran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini ialah mereka yang ingin berkomunikasi dalam bahasa Tamil di samping bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.

Menurut Sneham Malaysia, ia adalah NGO pertama yang menawarkan khidmat kaunseling menggunakan bahasa Tamil.

Pengasas dan presiden pertubuhan ini, Dr Florance Sinniah berkata beliau mendapat idea untuk menubuhkan Sneham Malaysia pada 2017 untuk memberi bantuan kepada mereka yang menderita kesihatan mental.

"Matlamat kami adalah untuk mencetuskan kesedaran umum mengenai pencegahan bunuh diri serta memberi kaunseling sokongan emosi kepada orang-orang yang murung dan berfikir mahu membunuh diri.

"Bahasa Tamil adalah salah satu bahasa untuk kami berkomunikasi dengan mereka di samping bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris, “ beliau memberitahu Bernama.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), setiap 40 saat, seorang mati akibat bunuh diri di seluruh dunia. 

Di Malaysia, laporan media memetik polis sebagai berkata seramai 1,696 orang membunuh diri sementara 625 orang cuba membunuh diri antara 2014 dan Februari 2018.

Bagaimanapun , Florance berkata angka itu adalah kecil berbanding keadaan sebenar yang berlaku. Beliau berkata penyakit mental mungkin menjadi punca kematian kedua terbesar dalam kalangan rakyat Malaysia selepas penyakit jantung.

"Sudah sampai masanya untuk kerajaan, institusi swasta dan agensi kerajaan yang lain untuk mengambil pendirian yang serius terhadap masalah penyakit mental dan kemurungan.

"Pihak yang berkenaan juga perlu melaksanakan strategi di peringkat kebangsaan unuk menangani perkara ini, “ tambah beliau.

Sneham Malaysia, kata Dr Florance yang dibiayai oleh sumbangan masyarakat, mempunyai 30 orang sukarelawan yang bertugas setiap hari dan 12 orang sukarelawan akan mengendalikan talian bantuan.

"Sejak kami memulakan talian bantuan ini, kami menerima lebih daripada 45 panggilan.

"Kira-kira 20 peratus daripada pemanggil mendedahkan mereka mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri akibat nilai harga diri yang rendah, masalah perhubungan dan isu keluarga, “ katanya, sambil menambah, sewaktu setiap perbualan telefon, identiti sukarelawan akan dirahsiakan.

Sementara itu, salah seorang daripada sukarelawan Sneham Malaysia, A. Suryakumar, 44, berkata beliau menyertai pertubuhan itu sejak enam bulan lalu untuk membantu mereka yang mempunyai isu emosi tetapi enggan berkongsi dengan orang lain.

Beliau sebelum ini amat bersedih dengan kematian anak saudara lelakinya, T. Nhaveen, 18, yang dibuli dan dipukul sekumpulan remaja. Kes Nhaveen dilaporkan secara meluas oleh media. Beliau meninggal dunia akibat kecederaan itu pada 15 Jun 2017.

"Terdapat keperluan untuk bertemu dengan pelajar-pelajar sekolah dan mendidik mereka mengenai kesejahteraan emosi, tingkah laku yang bersesuaian serta bahaya buli. Sukar untuk orang yang mempunyai masalah emosi dan tidak mampu berkongsi dengan orang lain, “ kata Suryakumar.

Perbualannya dengan orang yang memanggil talian bantuan itu ada kalanya berlarutan selama dua atau tiga jam kerana mengambil masa untuk membina kepercayaan dan keyakinan, tambahnya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel