Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lulus pindaan enakmen industri berasas kayu, kerajaan serius pelihara alam sekitar


Tarikh kemaskini: 18/07/2019





MELAKA, 18 Julai (Bernama) -- Enakmen Industri Berasaskan Kayu 2019 yang diluluskan sebulat suara pindaannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Selasa lepas membuktikan komitmen serius kerajaan dalam memastikan alam sekitar di negeri ini terus terpelihara.

Pindaan yang antara lain untuk menangani isu dan masalah berbangkit daripada penubuhan dan pengendalian industri berasas kayu itu turut menekankan denda dan hukuman berat menanti mana-mana pihak yang dengan sewenang-wenangnya mencuri khazanah alam bagi meraih keuntungan.

Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani Melaka, Norhizam Hassan Baktee yakin tindakan kerajaan negeri itu menambah baik enakmen berkenaan tidak akan menjejaskan industri berasaskan kayu sebaliknya mampu memberi impak positif dalam merangsang pertumbuhan ekonomi.

“Saya melihat penambahan jumlah denda dan hukuman dalam pindaan enakmen ini bukanlah bersifat untuk menghukum tetapi ianya lebih bersifat mendidik masyarakat agar lebih bertanggungjawab dan menyantuni alam sekitar serta tidak hanya mengejar keuntungan perniagaan semata-mata,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Industri berasas kayu merupakan antara penyumbang kepada pendapatan kerajaan negeri melalui kutipan hasil bayaran cukai sebanyak RM125,280 dalam tempoh empat tahun bermula dari 2015 dengan secara purata, sebanyak RM31,320 setiap tahun, manakala sektor perhutanan pula menyumbang sebanyak RM6.21 juta bagi tempoh yang sama.

Sementara itu, Pengarah Perhutanan Melaka, Azni Rahman A. Wahid berkata dengan pindaan enakmen itu, ia membuka ruang yang lebih luas kepada pihaknya menjalankan aktiviti penguatkuasaan bagi mengatasi masalah pencerobohan hutan serta kewujudan kilang industri berasas kayu haram.

Sambil menyambut baik langkah kerajaan itu, beliau berkata ia diperkenalkan tepat pada masanya dan setakat ini sebanyak 19 kilang industri berasas kayu beroperasi tanpa lesen telah dikesan melalui program pemutihan yang dilakukan.

“Mereka ini telah diedarkan borang permohonan lesen tetap selepas diberikan lesen sementara yang sah sehingga 31 Dis ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kes pencerobohan hutan di negeri ini adalah terkawal, bagaimanapun pihaknya akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan kawasan hutan simpan di Melaka tidak dicerobohi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia Prof Dr Ahmad Ismail yang turut menyokong usaha kerajaan itu mencadangkan kepada kerajaan negeri agar menetapkan kadar denda yang berbeza mengikut kepentingan hutan.

“Misalnya hutan simpan kekal untuk tadahan air atau kawasan sensitif alam sekitar perlulah lebih tinggi (denda),” katanya sambil menambah usaha menjaga kepentingan alam sekitar tidak mencukupi hanya sekadar penguatkuasaan sahaja sebaliknya perlu berterusan mendidik masyarakat dari semasa ke semasa.

“Kami dan badan bukan kerajaan (NGO) lain bersedia untuk membantu kerajaan negeri dalam usaha penanaman pokok, program pendidikan dan penyelidikan bagi membantu negeri sebagai negeri hijau dan tumpuan pelancong,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel