Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Melaka mohon kementerian kecuali pertukaran pegawai JPN dan PPD gred 42 berusia 55 tahun


Tarikh kemaskini: 18/07/2019





MELAKA, 17 Julai (Bernama) -- Kerajaan Negeri memohon Kementerian Pendidikan agar mengecualikan pertukaran pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah bagi Gred DG42 dan ke bawah, yang berusia lebih 55 tahun, ke sekolah terpilih seperti yang akan dilaksanakan dalam penstrukturan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 pada Disember ini.

Exco Pendidikan, Modal Insan, Sains dan Inovasi Melaka, Noor Effandi Ahmad berkata, pihaknya bimbang sekiranya pegawai Gred DG42 dan ke bawah itu dipindahkan untuk mengajar di sekolah, ia akan menjejaskan motivasi mereka selain ketidaksediaan untuk mengajar kerana kebanyakan mereka telah meninggalkan dunia pengajaran lebih 10 tahun dan hampir pencen.

Penstrukturan melibatkan golongan itu juga dilihat akan memberi kesan kepada proses pengajaran dan pembelajaran selain berkemungkinan menimbulkan pelbagai isu sehingga mengganggu sistem pendidikan negara yang sedang menuju ke hadapan.

"Pada dasarnya Kerajaan Negeri menyokong penuh inisiatif Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan penstrukturan semula PPPM dalam usaha memastikan kualiti pendidikan terjamin namun pada masa sama kita berharap golongan hampir pencen ini tidak diabaikan.

"Kita mencadangkan supaya kementerian melaksanakan penstrukturan itu secara 'soft landing' mengikut tahun berakhir 2025 iaitu pegawai Gred 42 dan ke bawah yang berusia 55 tahun ke atas yang berkhidmat di JPN dan PPD dikekal di sana sehingga pencen," katanya pada sidang akhbar di luar persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka di sini, hari ini.

Sebelum ini, Bernama melaporkan PPPM 2013-2025 adalah satu-satunya manifestasi transformasi kerajaan yang paling menyeluruh dan paling besar, dalam mendatangkan pulangan terbaik modal insan untuk memacu segala hasrat pembangunan negara.

Mengulas lanjut, Noor Effandi berkata Melaka mempunyai kurang 10 peratus daripada kira-kira 500 pegawai yang berkhidmat di JPN dan tiga PPD di negeri ini.

Dalam perkembangan lain, 50 Sahabat Amanah Ikhtiar Melaka (AIM) Melaka Tengah nyaris ditipu seorang individu yang menawarkan mesin jahit percuma dan mendakwa bantuan itu mendapat sokongan pejabat Exco Wanita, Kebajikan dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Ginie Lim Siew Lin.

Lim berkata suspek terlibat iaitu lelaki berusia 50-an dan menggunakan nama Shaikh Hussein Shaik atau Hussin Mahmud itu pada mulanya telah ke pejabatnya di Seri Negeri di sini pada 3 Julai untuk memaklumkan mengenai bantuan itu dan meminta pihaknya mencari 1,000 penerima yang terdiri daripada golongan wanita luar bandar.

Beliau berkata, lelaki itu juga ada mengirim email kepadanya pada 5 Julai yang menjelaskan secara terperinci mengenai syarat untuk penerima bantuan itu.

"Namun dia telah mengadakan satu perjumpaan dengan Sahabat AIM cawangan Melaka di Jalan Hang Tuah pada pukul 3 petang, Isnin lepas untuk menawarkan bantuan itu dengan syarat peserta perlu membayar RM2,000 sebagai modal dan menjanjikan pulangan RM42,000," katanya.

Peserta pula perlu membuat bayaran modal berkenaan selewat-lewatnya Sabtu ini namun penipuan itu berjaya dihidu beberapa peserta kerana suspek pernah terlibat dalam kes penipuan pihak sekolah pada 2017.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     

Semua sekolah di Putrajaya dibuka esok

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel