Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan negeri Melaka beri bantuan RM200 ringankan beban mangsa banjir


Tarikh kemaskini: 17/07/2019





MELAKA, 17 Julai (Bernama) -- Kerajaan Negeri akan memberi bantuan pasca banjir berjumlah RM200 kepada ketua isi rumah, yang menjadi mangsa banjir, bagi membantu meringankan beban mereka akibat bencana itu yang berlaku di daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah, awal bulan ini.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata bantuan itu akan diserahkan kepada ketua isi rumah melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala bantuan seterusnya akan dilihat berdasarkan kepada tahap kerosakan yang dialami setiap keluarga.

"Selepas bantuan RM200 ini diberikan, kita akan melihat pula apakah keperluan lain bagi mangsa banjir itu.

"Ini kerana berdasarkan laporan yang kita terima kerosakan harta benda yang dialami bagi setiap keluarga adalah berbeza," katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Kompleks Seri Negeri di sini, hari ini.

Pada 7 Julai lepas, media melaporkan lebih 1,000 mangsa terjejas banjir di negeri ini membabitkan dua daerah iaitu Melaka Tengah dan Alor Gajah termasuk dua sekolah, Sekolah Kebangsaan (SK) Krubong dan SK Belimbing Dalam terpaksa ditutup selama dua hari.

Tiga hari selepas itu, iaitu pada 10 Julai keadaan banjir di Melaka pulih sepenuhnya apabila sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di daerah Alor Gajah, ditutup.

Sementara itu, Pengarah JKM Melaka Burhanuddin Bachik ketika dihubungi Bernama berkata, selain menyampaikan bantuan berkenaan, dianggarkan 90 sukarelawan akan digerakkan ke kedua-dua daerah itu  bagi membantu kerja-kerja membersih dan mencuci kediaman penduduk yang terlibat dengan bencana itu.

Bantuan pasca banjir itu sangat penting bagi memberi sedikit keceriaan kepada kira-kira 300 keluarga terlibat selain meringankan bebanan yang ditanggung mangsa.

"Meskipun bencana ini sudah seminggu berlalu, kita tetap meneruskan inisiatif tanggungjawab sosial dengan melakukan kerja-kerja pembersihan di rumah mangsa. Bagi kawasan di daerah Alor Gajah kita menempatkan kira-kira 70 sukarelawan, manakala bagi daerah Melaka Tengah seramai 20 sukarelawan.

"Ini juga satu daripada usaha dan komitmen berterus­an JKM kepada masyarakat sekali gus memupuk semangat insaniah dalam kalangan mereka yang terlibat," katanya.

Selain JKM, sukarelawan yang terlibat dengan bantuan pasca banjir bagi kerja-kerja membersih dan mencuci kediaman mangsa ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel