Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penjara Marang muncul penjara pertama peroleh sijil Halal


Tarikh kemaskini: 17/07/2019




MARANG, 17 Julai (Bernama) -- Penjara Marang muncul penjara pertama di Semenanjung Malaysia yang memperolehi Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Pengarah Penjara Marang, Wan Sani Ab Latiff berkata kejayaan itu hasil kerjasama unit sajian bahagian dapur dan bimbingan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dalam memastikan semua kriteria dipatuhi untuk mendapatkan SPHM.

"Sebelum ini, setiap kali ada lawatan dari Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) ke Penjara Marang, kebersihan dapur akan dikritik.

"Kita ambil kritikan itu sebagai cabaran untuk mengubahnya ke arah yang lebih baik dan hasilnya kini kita sudah perolehi SPHM. Malah, kita turut dikategorikan sebagai dapur yang sangat bersih (kategori A) oleh Pejabat Kesihatan Daerah Marang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima SPHM yang disampaikan oleh Timbalan Pesuruhjaya (Hal Ehwal Islam) JHEAT, Mohd Azam Awi di Penjara Marang di sini hari ini.

Ketika ini, terdapat 10 kakitangan penjara yang bertugas di unit sajian bahagian dapur dengan dibantu 88 banduan yang telah memperolehi Sijil Kursus Penyediaan Makanan daripada Pejabat Kesihatan Marang.

Sementara itu, Penolong Penguasa Penjara yang menyelia unit sajian, Suhardi Ali berkata kesemua banduan yang bertugas di bahagian dapur turut mendapatkan suntikan Typhoid sebelum dibenarkan mengendali makanan.

"Mereka juga perlu menjalani beberapa pemeriksaan kesihatan dan pemilihan banduan juga agak ketat misalnya mereka yang dipenjarakan akibat kesalahan keganasan tidak dibenarkan untuk bertugas di bahagian dapur.

"Kami juga mempunyai satu buku rekod khas untuk banduan yang menggunakan peralatan tajam seperti pisau pemotong daging sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel