Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Isu Exco Perak tidak jejas keyakinan pelabur


Tarikh kemaskini: 17/07/2019





BATU GAJAH, 17 Julai (Bernama) --  Isu kontroversi berhubung kes rogol dan rasuah melibatkan dua  Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco) Perak tidak menjejaskan keyakinan pelabur untuk terus melabur di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata pihaknya masih menerima kunjungan daripada pelabur yang menyatakan hasrat terus menanam modal di Perak seperti yang dirancang sebelum ini.

"Saya didatangi tiga, empat pelabur setiap hari jadi aktiviti pelaburan berjalan seperti biasa tanpa sebarang kesan, tidak ada kesan negatif walaupun ketika ini dua exco dikaitkan dengan pelbagai isu.

"Pentadbiran kerajaan negeri juga tidak mempunyai apa-apa kesan langsung dan kita masih meneruskan kerja-kerja dari sehari ke sehari," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke projek pembinaan masjid baharu di Kampung Seri Jaya di sini, hari ini.

Ditanya mengenai keperluan untuk Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melakukan rombakan Exco, Mohammad Nizar berkata ia merupakan hak mutlak sepenuhnya menteri besar untuk membuat sebarang keputusan.

Mohammad Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Rapat berkata pada kebiasaannya menteri besar akan merujuk kepada kepimpinan Pakatan Harapan (PH) negeri kerana rombakan merupakan satu tindakan dasar.

Pada 8 Julai lalu, seorang wanita warga Indonesia berumur 23 tahun membuat laporan polis mendakwa dirogol Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu, Paul Yong Choo Kiong di rumah majikannya itu di Meru. 

Sabtu lepas, Ahli Jawatankuasa PKR Parit Buntar, Beh Yong Kean yang juga bekas pegawai khas Abdul Yunus Jamhari, membuat laporan polis mendakwa Exco berkenaan  membocorkan kertas minit Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri, bagi mendapatkan komisen daripada dua syarikat pertanian.

Abdul Yunus yang memegang portfolio Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan menjelaskan perkongsian pelbagai maklumat dan data kerajaan negeri dibuat atas kapasiti sebagai wakil rakyat, dan penting untuk menyelesaikan pelbagai aduan, serta masalah rakyat di kawasan yang diwakilinya di Kuala Kurau.

Sementara itu, Mohammad Nizar berkata masjid baharu yang terbengkalai pembinaannya hampir dua tahun itu dijangka akan siap sepenuhnya menjelang penghujung Ogos ini.

"Apabila siap sepenuhnya, masjid ini mampu menempatkan kira-kira 500 jemaah pada satu-satu masa," katanya menambah sejumlah RM2.5 juta kos bagi pembinaan masjid itu.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel