Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

UMK wujudkan pangkalan data komuniti miskin di Kelantan


Tarikh kemaskini: 17/07/2019





BACHOK, 17 Julai (BERNAMA) -- Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melalui Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK) mewujudkan sebuah pangkalan data mengenai komuniti miskin di negeri ini bagi  membantu pihak berkenaan meneliti, mengurus dan mencadangkan pelan strategik bagi menangani kemiskinan  berimpak lestari.

Pengarahnya Profesor Madya Dr Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail berkata pangkalan data Pemetaan Komuniti Miskin di Kelantan itu disediakan berdasar kajian teliti selama lapan bulan oleh 15 penyelidik yang diketuai beliau sendiri membabitkan kesemua 10 jajahan di negeri Kelantan di mana tujuh daripadanya dikategorikan sebagai termiskin.

Kajian terperinci itu turut membabitkan 12 penyelidik pelbagai disiplin ilmu dan agensi dari UMK, Universiti Putra Malaysia, Universiti Sultan Zainal Abidin dan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di Jabatan Perdana Menteri.

Wan Ahmad Amir Zal berkata, InsPeK optimis yang hasil dari kajian terbabit secara praktikalnya bermanfaat kepada pemegang taruh untuk bertindak, termasuk merangka pelan strategik pengurusan kemiskinan berimpak lestari di samping membina polisi yang lebih tepat.

“Misalnya, jika orang miskin didapati miskin dari aspek modal insan, iaitu lemah dari segi pengetahuan dan kemahiran maka polisi boleh menumpukan kepada pembinaan kapasiti dari dimensi modal insan. Begitu juga dengan dimensi modal komuniti yang lain,” katanya ketika ditemui Bernama di universiti itu hari ini.

Data pemetaan kemiskinan itu dibangunkan dengan kerjasama GOOGLE  membolehkan pihak berkenaan mengakses sehingga ke lokasi keberadaan sampel melalui GOOGLE Map.

Wan Ahmad Amir Zal berkata hasil kajian itu dikenalpasti mampu membantu semua pihak untuk membentuk pelan tindakan kerana data yang diperlukan telah tersedia dan bersifat dan komprehensif .

Sehubungan itu katanya, sebuah pangkalan data InsPeK kenali sebagai InsPeK Box (iBox) disediakan bagi membolehkan pengguna mendapat paparan data yang disimpan secara interaktif dan terus kepada sampel.

Sehingga ini katanya, InsPeK sudah menggunakan sepenuhnya iBox untuk mendokumentasikan semua hasil kajian, termasuki data Makmal Jaringan Sosial (SNL) InsPeK.

“Begitu juga dengan hasil kajian Pemetaan Komuniti Miskin di Kelantan, data didokumentasikan di dalam iBox dengan hasrat hasil kajian boleh dimanfaatkan oleh pemegang taruh dan rakan strategik InsPeK,” tambahnya.

“Laporan kajian dibuat dalam bentuk infografik supaya ia mudah difahami dan boleh dimuat turun secara percuma bagi memastikan semua pihak boleh bersama InsPeK menangani pelbagai isu di negeri ini,” katanya.

Mengenai peluasan kajian ke enam negeri yang diklasifikasikan sebagai negeri miskin, Wan Ahmad Amir Zal berkata pihaknya bersedia untuk melaksanakan tanggungjawab itu bila-bila masa diperlukan.

“Kami boleh menggunakan model yang sama seperti yang dibuat di Kelantan tetapi memerlukan dana yang mencukupi bagi membolehkan kerja penyelidikan dilakukan dengan teliti dan sempurna,” katanya sambil menambah kajian kemiskinan negeri Kelantan dibiayai sepenuhnya UMK.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel