Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pasukan bola sepak wanita Melaka diraikan bersama penyokong


Tarikh kemaskini: 16/07/2019





MELAKA, 16 Julai (Bernama) -- Pasukan bola sepak Melaka meraikan kejayaan merangkul trofi juara Piala Tun Sharifah Rodziah 2019 di hadapan lebih 3,500 penyokong sendiri dalam satu majlis ringkas di Stadium Hang Jebat, di sini malam ini.

Penyerahan piala dilakukan oleh Pengurus pasukan bola sepak wanita Melaka United, Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah kepada Ketua Menteri, Adly Zahari dan diiringi Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi.

Adly yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) berkata kerajaan negeri turut mengucapkan tahniah selain berbangga dengan pencapaian skuad wanita Melaka meraih piala tersebut.

Katanya, kerajaan negeri dan MUSA akan membincangkan insentif kepada mereka sebagai penghargaan dalam tempoh terdekat.

"Saya yakin kejayaan ini hasil daripada perancangan baik oleh pengurusan dan pasukan bola sepak, kita juga akan memastikan kebajikan mereka sentiasa dijaga," katanya kepada pemberita di sini, malam ini.

Sementara itu Siti Faidul Maisarah berkata, kemenangan menebus kekecewaan dengan lawan yang sama pada edisi lepas merupakan satu kepuasan kepada seluruh pasukan untuk melakar sejarah bagi pasukan Melaka.

"Saingan kali ini tampak lebih sengit sejak daripada awal kejohanan dengan persediaan rapi dilakukan meskipun banyak pasukan yang mengambil bahagian namun, usaha yang dilakukan pasukan ini berjaya membuahkan hasil," katanya.

Pasukan Melaka berjaya menewaskan Kedah menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, Ahad lepas.

Skuad kendalian Jamil Hassan bergelar juara menerusi jaringan 3-1 selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 selepas permainan terpaksa diheret ke penentuan sepakan penalti.

Kemenangan menjulang piala itu merupakan pencapaian terbaik pasukan negeri ini apabila  muncul juara buat kali pertama dalam tempoh 39 tahun.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel