Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pusat proses makanan laut disyaki curi elektrik, sebabkan kerugian setengah juta ringgit


Tarikh kemaskini: 16/07/2019





MERSING, 16 Julai (Bernama) -- Sebuah pusat pemprosesan makanan laut di Endau, dekat sini, diserbu hari ini kerana dipercayai mencuri elektrik sehingga menyebabkan kerugian dianggarkan kira-kira setengah juta ringgit kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Pengarah Penguatkuasaan dan Operasi Kawasan Suruhanjaya Tenaga (ST) Mohd Elmi Anas berkata semasa serbuan itu, pihaknya memeriksa dan mendapati premis berkenaan telah melakukan pengusikan pada pepasangan meter elektrik sehingga menyebabkan ia gagal merekod bacaan dengan sempurna.

 “Kita mengesyaki pusat ini telah menjalankan aktiviti menggunakan elektrik secara curang ini sejak 2016 dan kita anggarkan setengah juta ringgit kerugian di pihak TNB.

“Pada masa ini, kita sedang membuat pemeriksaan dan sekiranya terdapat bukti-bukti yang boleh dikaitkan dengan kecurian elektrik, kita akan mendakwa syarikat ini di bawah Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990,” kata beliau kepada pemberita selepas serbuan di pusat pemprosesan berkenaan, di sini, petang ini.

Mohd Elmi berkata siasatan lanjut akan dijalankan oleh suruhanjaya berkenaan, dan jika didapati bersalah, pemilik premis itu boleh didakwa di bawah Seksyen 37(1), Seksyen 37 (3) dan Seksyen 37 (14) di bawah akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun untuk kesalahan pertama sementara bagi kesalahan kedua dan seterusnya, pesalah boleh didenda sehingga RM5 juta atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Serbuan yang bermula pukul 11 pagi tadi sehingga lima petang, melibatkan kira-kira 20 pegawai ST dan TNB.

Sementara itu, Mohd Elmi berkata kes kecurian elektrik sering berlaku dan ST telah banyak membuat serbuan setelah mendapat aduan dari pihak utiliti.

“Pada tahun ini sahaja, sebanyak 17 serbuan telah dilakukan dan sebanyak sembilan kertas siasatan telah dibuat untuk pendakwaan,” kata beliau.

Secara keseluruhan sejak tahun 2015, sebanyak 54 kertas siasatan telah dibuka dan dua daripadanya di Johor.

Beliau menasihati pengusaha atau industri supaya tidak sama sekali mengusik meter utiliti.

“Sekiranya hendak mengurangkan penggunaan elektrik, gunakanlah konsep kecekapan tenaga dengan menggunakan mesin-mesin yang cekap tenaga seperti lampu LED dan sebagainya,” kata beliau.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel