Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tapem terima sumbangan lebih RM5 juta untuk peruntukan derma siswa dan pinjaman


Tarikh kemaskini: 16/07/2019





MELAKA, 16 Julai (Bernama) -- Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (Tapem) menerima sumbangan berjumlah RM5.835 juta daripada Kerajaan Negeri Melaka dan tujuh agensi lain dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini. 

Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka diberitahu hari ini. sumbangan itu adalah untuk peruntukan derma siswa dan pinjaman pendidikan kepada anak Melaka yang menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara,

Exco Pendidikan, Modal Insan, Sains dan Inovasi Melaka Noor Effandi Ahmad berkata, daripada jumlah itu, RM1.5 juta diterima daripada Kerajaan Negeri Melaka, Yayasan Melaka (RM1.5 juta), Syarikat Air Melaka Berhad (RM300,000), Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (RM10,000), Kumpulan Melaka Berhad (RM5,000), Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka (RM20,000), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (RM300,000) dan Majlis Agama Islam Melaka (RM2.2 juta).

Bagaimanapun, sumbangan itu agak rendah berbanding sasaran yang ditetapkan sebelum ini iaitu sekitar RM10.1 juta hingga RM10.2 juta daripada pihak berkenaan.

"Terdapat 10 jenis bantuan dan sumbangan Kerajaan Negeri Melaka melalui Tapem sejak ia ditubuhkan pada tahun 2000 dan pemberian derma siswa dan pinjaman pendidikan ini bergantung kepada peruntukan yang ada.

"Sehingga Jun lepas, Tapem hanya berjaya memperoleh separuh daripada sasaran yang ditetapkan sebelum ini dengan agensi terlibat dan kita berharap separuh lagi sumbangan dapat diterima dalam masa terdekat seperti yang dijanjikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Zaidi Attan (BN-Serkam) berhubung jumlah sumbangan yang diterima Tapem, agensi yang memberi sumbangan dan jumlah pungutan balik pinjaman.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri Telok Mas itu berkata, RM80,974,200.60 pinjaman telah dipungut sejak penubuhannya tahun 2000 hingga 4 Julai lepas.

Tapem masih bertolak ansur dengan peminjam yang mempunyai kesukaran untuk membuat bayaran balik seperti yang dijadual namun mereka perlu berjumpa dengan pegawai Tapem untuk membuat penjadualan semula bayaran agar pinjaman itu dapat dibayar mengikut kemampuan.

Sementara itu, katanya, Tapem telah melaksanakan beberapa inisiatif baharu dalam pemberian derma siswa atau penjaman pendidikan untuk anak Melaka antaranya penukaran status pinjaman kepada derma siswa untuk pelajar yang melanjutkan pengajian dalam jurusan Pengajian Islam di Mesir, Jordan, Maghribi dan Indonesia bermula awal tahun ini.

"Untuk peringkat awal, 30 pelajar yang melanjutkan pengajian dalam Pengajian Islam di empat negara itu mendapat bantuan pendidikan berbentuk derma siswa berbanding pinjaman sebelum ini antara RM11,000 hingga RM30,400 bagi tempoh empat tahun pengajian mereka," katanya.

Selain itu, pelajar tingkatan enam juga akan diberi biasiswa RM50 dengan jumlah keseluruhan RM600 setahun bagi meringankan beban keluarga mereka.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel