aFmWcabbRZI Keluarga murid terjatuh lantai bas sekolah cadang saman pihak bertanggungjawab
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Keluarga murid terjatuh lantai bas sekolah cadang saman pihak bertanggungjawab


Tarikh kemaskini: 16/07/2019





MACHANG, 16 Julai (Bernama) --Sungguhpun reda dengan pemergian anaknya yang  maut terjatuh dari lantai bas sekolah, ibu mangsa Nik Hasmani Mohamed akan meneruskan hasrat untuk menyaman pihak yang bertanggungjawab terhadap kejadian  itu yang berlaku  pada 4 Julai lalu di Kampung Kandis, Pasir Puteh.

Nik Hasmani, 44, berkata sehingganya  kini keluarga itu masih menunggu keputusan laporan perubatan terhadap anaknya, Allahyarham Wan Muhammed Adam Mohd Suria, 12.

"Saman itu kita akan failkan tetapi selepas melihat keputusan laporan yang dibuat hasil siasatan polis.

"Sekiranya berlaku kecuaian dalam kes ini sehingga mengakibatkan kematian, kami sekeluarga akan meneruskan hasrat menyaman dan melantik peguam," katanya kepada Bernama semasa ditemui di rumahnya di Taman Desa Bakti, Machang di sini.

Atas sebab itu, Nik Hasmani memohon supaya siasatan menyeluruh dijalankan dalam kadar segera berhubung kejadian yang menimpa anak bongsu daripada empat beradik itu.

Menurutnya, beberapa pihak terbabit, antaranya penganjur iaitu Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Jabatan Pendidikan Negeri yang memberi kebenaran dan syarikat pengusaha bas perlu memberi kerjasama dengan polis berhubung kes tersebut.

“Kami sabar menanti keputusan siasatan dan ingin tahu punca kejadian, masalah bas dan kenapa tiada orang dewasa yang menjadi pengiring di dalam bas ketika kejadian.

"Tindakan mahkamah terhadap pihak berkaitan perlu diambil bertujuan tidak mahu kejadian sama berulang sekiranya berlaku kecuaian," katanya.

Bukan tidak reda dengan pemergian satu-satunya anak lelaki dalam keluarganya, namun kata Nik Hasmani, kehilangan di atas kecuaian orang lain itulah mendorong mereka mengambil tindakan mahkamah.

Nik Hasmani berkata, selama 11 hari kehilangan anak keempat tersebut, dia bersama suami, Mohd Suria Ismail, 46 dan anak-anaknya, Wan Nurfazleen Amirah, 22, Wan NurFazreen Athirah, 18 dan Wan Nurfaresya Amanda, 15, masih lagi sedih atas kehilangan tersebut.

Mohd Suria berkata, anak lelakinya adalah anak yang berdikari di rumah dan di sekolah pula, dia menjadi Pengawas yang terkenal aktif dari kelas 6 Beta di Sekolah Kebangsaan Tok Bok.

"Asalkan ada pertandingan, dia akan sertai tidak kira sukan atau seni, dia sendiri yang berminat dengan bersungguh-sungguh, selain dia cemerlang dalam akademik.

Sementara itu, Wan Nurfazleen Amirah berkata, adik bongsunya gemar membela haiwan termasuk arnab, kura-kura, ikan dan burung.

"Sebelum Adam tiada, arnabnya baru sahaja beranak, mula-mula empat ekor, kemudian enam ekor, tetapi empat ekor mati sebab sangkar diceroboh anjing semasa kami ke Perak semalam.

"Dia (arwah) sempat berikan nama arnab warna putih ini dengan panggilan 'Donde'.... Betapa banyaknya kenangan dia bersama arnab dan beri makan burung sebaik pulang dari sekolah sambil menyiapkan kerja sekolah di taman mini ini," katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel