Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kelantan latih pendakwah Orang Asli lancarkan usaha dakwah


Tarikh kemaskini: 15/07/2019




KOTA BHARU, 15 Julai (Bernama) -- Kerajaan Kelantan mengambil pendekatan melatih pendakwah dalam kalangan Orang Asli bagi melancarkan kerja dakwah kepada golongan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Dakwah Penerangan dan Hubungan Seranta Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata setakat ini seramai 40 Orang Asli yang telah memeluk Islam berjaya dilatih untuk mengajar dan memberi kefahaman tentang agama Islam kepada masyarakat itu.

"Kita akui usaha dakwah dalam kalangan Orang Asli berdepan kesukaran kerana kebanyakan daripada mereka masih terikat kuat dengan kepercayaan nenek moyang mereka. Misalnya sebelum ini dalam kes di Kuala Koh ada jenazah suku Batek dikebumikan mengikut adat dan kepercayaan mereka sebelum dikebumikan semula mengikut kehendak agama Islam.

“Jadi kita latih dan galakkan mereka mendalami agama Islam di sekolah-sekolah pondok dan setakat ini sudah ada yang mampu jadi imam. Usaha ini kita rasakan lebih berkesan kerana mereka lebih memahami budaya dan kehidupan masyarakat mereka sekali gus memudahkan kerja dakwah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Mahrajan Amal Islami Mualaf di sini, hari ini yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) Hasnan Ramli.

Program anjuran bersama JAHEIK dan Majlis Agama Islam  dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bagi menilai pengetahuan dan kefahaman mualaf mengenai ajaran agama Islam melalui beberapa pertandingan termasuk tilawah al-Quran dan hafazan yang disertai seramai 46 orang mualaf.

Mohd Nassuruddin bagaimanapun berkata usaha dakwah yang dilakukan jabatan agama Islam negeri lebih bersifat mendidik dan memberi pendedahan tentan agama Islam dan bukannya bersifat paksaan.

"Sambutan terhadap agama Islam sentiasa ada kerana ramai mengetahui Islam agama yang membawa kesejahteraan dan keselamatan. Namun kesediaan mereka untuk memeluk Islam bergantung kepada hidayah Allah kerana dalam Islam tiada paksaan dalam beragama, tugas kita hanya berdakwah," katanya.

Sementara itu sorang mualaf Ibrahim Aridani, 75 yang juga peserta tertua pertandingan tilawah al-Quran berkata beliau amat gembira walapun hanya mendapat tempat ketiga dalam kategori itu.

Katanya beliau mula mempelajari al-Quran sejak memeluk Islam enam tahun lepas dengan isterinya Kamariah Mamat, 55.

"Saya merasa amat bertuah memiliki isteri yang pandai mengaji dan dia juga banyak membimbing saya berkaitan ajaran agama Islam sejak kami berkahwin enam tahun," katanya.

Beliau yang berasal dari Tuaran, Sabah itu sebelum ini menganut agama Kristian bagaimanapun mendapat hidayah selepas mendengar laungan azan Subuh.

Katanya sejak itu beliau mula berminat mendalami Islam secara serius dan berhasrat untuk menetap terus di Kelantan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel