Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Terengganu tubuh jawatankuasa selesai kelewatan projek di Pulau Bayas, Tasik Kenyir


Tarikh kemaskini: 15/07/2019





KUALA TERENGGANU, 15 Julai (Bernama) -- Kerajaan negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Menilai dan Menyelesai Isu-Isu Projek Zon Bebas Cukai Pulau Bayas di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu bagi memastikan masalah kelewatan projek yang tergendala dapat diatasi segera.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri Ariffin Deraman berkata projek-projek di Pulau Bayas itu sepatutnya siap pada 2017, namun ketika ini keseluruhan projek siap 77 peratus sahaja, manakala kompleks beli belah pula hanya siap 55 peratus.

"Kos keseluruhan projek zon bebas cukai Pulau Bayas ini adalah RM243 juta manakala perbelanjaan kita setakat ini ialah RM118 juta… ini bermaksud masih ada baki RM55 juta nilai projek untuk disiapkan di pulau itu.

"Kerajaan negeri sedang meneliti beberapa pilihan yang ada terhadap kontraktor yang terbabit untuk memastikan projek ini dapat disiapkan antaranya meneruskan pembinaan dengan kontraktor asal dengan syarat tambahan, persetujuan bersama untuk menamatkan kontrak atau menamatkan sahaja kontrak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Hishamuddin Abd Karim (PAS-Tepoh) yang mahu tahu perancangan kerajaan Terengganu terhadap pembangunan pulau bebas cukai itu di persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Terdapat enam pakej pembinaan zon bebas cukai di Pulau Bayas dengan dua pakej sudah siap sepenuhnya manakala empat pakej lagi gagal disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan.

Ariffin Deraman berkata empat pakej itu adalah membina dan menyiapkan bangunan terminal utama, jeti penumpang dan jeti servis; membina dan menyiapkan pencawang elektrik serta sistem agihan bekalan voltan tinggi dan rendah, membina dan menyiapkan kompleks beli belah serta membina dan menyiapkan sistem rawatan air serta rawatan kumbahan.

"Bagaimanapun, kita jangka kos untuk menyiapkan projek ini akan menelan belanja jauh lebih besar, mungkin mencecah lebih RM70 juta berbanding nilai berbaki ketika ini (RM55 juta) kerana setiap kelewatan projek akan memberi impak daripada segi peningkatan kos.

"Ada juga cadangan untuk tidak memasukkan Pulau Bayas sebagai sebahagian komponen Zon Bebas Cukai ini, hanya masukkan Pengkalan Gawi dan Pulau Poh sahaja… semua itu akan dimuktamadkan oleh jawatankuasa khas itu nanti," katanya.

Jawatankuasa khas itu akan dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti Dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel