Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kementerian Kerja Raya sahkan terima kertas tawaran Maju Holdings untuk ambil alih PLUS Malaysia


Tarikh kemaskini: 15/07/2019





GEORGE TOWN, 15 Julai (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya hari ini mengesahkan pihaknya sudah menerima tawaran rasmi daripada Maju Holdings Sdn Bhd (Maju Holdings) untuk mengambil alih PLUS Malaysia Bhd (PLUS).

Menterinya, Baru Bian berkata buat masa ini pihaknya sedang meneliti tawaran itu sebelum dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet.

"Kita sudah menerima kertas tawaran daripada Maju Holdings dan kita akan meneliti semua itu. Selepas itu, kita akan berkongsi dengan Kabinet dan pemberita mengenai tawaran ini.

"Tidak ada syarikat yang secara rasminya mengajukan tawaran selain dari Maju Holdings. Perkara ini belum dibawa ke Kabinet dan masih di tahap kementerian saya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Konsesi Lebuh Raya 2019, di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan media berhubung syarikat berkenaan mengemukakan tawaran baharu untuk mengambil alih PLUS.

Maju Holdings yang dikuasai ahli perniagaan Tan Sri Abu Sahid Mohamed dilapor pernah membuat tawaran sebanyak RM36 bilion untuk mengambil alih PLUS pada 2017.

Kementerian Kewangan ketika itu berkata kerajaan tidak mempunyai perancangan untuk melepaskan pegangan dalam PLUS kepada Maju Holdings dan memandang serius kedudukan kewangan serta kemampuan entiti persendirian seperti Maju Holdings untuk membiayai cadangan pengambilalihan korporat itu.

Ditanya sama ada kementerian menetapkan satu jangka masa untuk rundingan pengambilalihan itu, Baru berkata tiada jangka masa ditetapkan berhubung perkara itu sebaliknya kementerian kini memberi tumpuan untuk menjalankan kajian yang holistik bagi menentukan hala tuju tol di lebuh raya seluruh negara.

"Itu yang kita nak habiskan dulu. Ini sudah diberikan kepada setiap kementerian untuk ulasan mereka dan akan dikemukakan kepada Kabinet dalam masa terdekat," katanya.

Persidangan dua hari yang bermula hari ini itu bertujuan untuk berkongsi aspirasi, pengalaman dan idea terhadap isu serta cabaran semasa yang dihadapi dalam industri lebuh raya bertol di Malaysia terutamanya berkaitan dengan aspek kewangan, operasi dan penyenggaraan lebuh raya.

Persidangan yang merupakan anjuran kali kedua Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dengan kerjasama Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia itu melibatkan kira-kira 300 peserta dari dalam dan luar negara.

Pada persidangan itu, LLM turut memberi pengiktirafan dan penganugerahan kepada penggiat industri lebuh raya bertol di Malaysia yang telah melaksanakan projek-projek pendigitalan lebuh raya yang lebih inovatif menerusi penyampaian Anugerah 'Highway Digitalisation Excellence Award' (HDEA).

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel