8MpOjTh5KH8 Polis Kelantan tahan tujuh orang, rampas dadah bernilai RM200,000
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis Kelantan tahan tujuh orang, rampas dadah bernilai RM200,000


Tarikh kemaskini: 14/07/2019





KOTA BHARU, 14 Julai (Bernama) -- Polis menahan tujuh orang termasuk seorang wanita warga Thailand berumur antara 19 dan 33 tahun serta merampas pelbagai pil dan serbuk disyaki dadah bernilai hampir RM200,000 dalam tiga serbuan berasingan di Kota Bharu, Pasir Mas dan Tanah Merah, Jumaat lalu.

Turut dirampas dalam serbuan bermula 9.30 malam hingga 11.30 malam itu ialah sebuah kereta Proton Putra dan sebuah motosikal.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azmi Abu Kassim berkata rampasan membabitkan 18,500 biji pil dipercayai pil kuda,150 pil Eramin 5 dan 55 gram syabu yang dipercayai untuk pasaran tempatan di negeri ini.

Katanya dalam serbuan  pertama pada jam 9.30 malam, anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Tanah Merah menahan sebuah Proton Putra yang dinaiki empat suspek termasuk seorang remaja perempuan warga Thailand berumur 19 tahun di Jalan Taman Manal Jaya, Tanah Merah.

Katanya, dua kenderaan pasukan yang terbabit dalam operasi itu merempuh bahagian depan dan belakang kereta Proton Putra terbabit  sebelum keempat-empat suspek yang cuba melarikan diri tetapi dapat ditangkap.

"Hasil pemeriksaan dalam kenderaan terbabit menemui satu beg galas mengandungi 12,000 pil kuda dengan nilai RM120,000.

"Pemeriksaan lanjut yang dilakukan mendapati tiga suspek lelaki tempatan yang ditahan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah, manakala remaja perempuan berusia 19 tahun didapati positif dadah jenis Methamphetamine," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Bagi kes kedua, Azmi berkata, polis merampas 1,300 pil juga dipercayai pil kuda bernilai RM13,000 selepas menahan seorang lelaki berusia 33 tahun yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan, di tepi jalan Kampung Bechah Palas, Pasir Mas, pada pukul 10.45 malam.

Katanya, dadah yang diisi dalam kotak rokok dan beg pinggang itu ditemui ketika pemeriksaan badan dilakukan terhadap suspek.

Azmi berkata dalam serbuan ketiga di sebuah rumah di Kampung Wakaf Stan, Kubang Kerian pula polis menahan dua lelaki berusia 22 dan 28 tahun bersama 5,200 pil kuda, 55 gram syabu dan 150 Eramin 5.

"Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 13 hingga 19 Julai depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952 yang membawa hukuman mati mandatori," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel