Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pemandu APM uzur dapat rumah baharu menerusi Program Jiwa Murni


Tarikh kemaskini: 14/07/2019





KOTA BHARU, 14 Julai (Bernama) -- Nasib pemandu Angkatan Pertahanan Awam (APM) terbela apabila menerima bantuan pembinaan baharu rumahnya yang uzur di Kampung Chengal menerusi Program Jiwa Murni (PJM) yang dilaksanakan APM dengan kerjasama Persatuan Orang Kota Bharu (POKB).

Muhamad Imeran Yunus, 44, berkata dia berterima kasih kepada Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab atas kunjungan bagi menziarahinya pada Mac lalu sekaligus beliau meluahkan hasrat untuk membantu membina kediaman baharu. 

Imeran berkata, dia sama sekali tidak menyangka impian mereka sekeluarga untuk memiliki sebuah rumah yang lebih selesa tercapai berbanding rumah sebelum ini yang terlalu daif selain tandas berada di luar rumah. 

“Pada awal bulan Mei tahun lalu, saya mula mengambil cuti sakit apabila mengalami masalah kesihatan iaitu penyakit buah pinggang kronik yang menyebabkan kedua-dua belah kaki saya dari paras peha hingga ke bawah mula membengkak dan kini terpaksa di hemodialisis sebanyak tiga kali seminggu,” katanya.

Katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Program Jiwa Murni Pembinaan Rumah Staf APM di Kampung Belukar, Chengal Ketereh di sini hari ini. Majlis penyerahan rumah berkenaan disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Roslan Wahab. 

Hadir sama, Pengarah APM Kelantan Zainuddin Hussin dan Presiden POKB Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad.

Imeran berkata, kediaman baharu yang mempunyai tiga buah bilik itu memberikan keselesaan kepada isterinya, Siti Zaharah Mat Kail, 42, dan empat anaknya berusia antara sembilan hingga 20 tahun. 

“Sebelum saya mula jatuh sakit, saya sempat membaiki ruangan dapur rumah lama namun proses pembaikian berkenaan tergendala disebabkan kemerosotan keadaan kesihatan yang dialami," katanya. 

Tambahnya lagi, jika sebelum ini dia mampu mencari pendapatan tambahan, namun kini dia hanya bergantung kepada bayaran bulanan yang diterima untuk menyara empat anak yang masih bersekolah. 

“Sejak saya mula sakit juga, isteri mula membantu untuk menambah pendapatan keluarga dengan mengambil upah menjual kuih yang dijual di sekitar rumah dengan pendapatan hanya RM50 sehari," katanya. 

Sementara itu, Roslan berkata ini adalah kali pertama Program Jiwa Murni APM dengan kerjasama POKB membantu membina rumah dengan bantuan berjumlah RM18,000.

“Sumbangan ini adalah hasil kutipan bersama pegawai dan anggota bersekutu APM selain bantuan daripada beberapa agensi lain antaranya POKB, Politeknik Kota Bharu, Universiti Teknologi MARA (UiTM), APM Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan dan Perak.

"Melalui hasil kutipan ini, kita terpanggil untuk bantu Muhamed Imeran yang sebelum ini banyak berjasa dan berkhidmat pada negara melalui APM. Jadi kita bantu menyiapkan rumahnya,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, Roslan berkata APM dalam proses untuk menubuhkan Yayasan APM bagi membantu kebajikan warga APM dan golongan yang memerlukan. 

“Setakat ini kita sudah ada Tabung Amanah Pertahanan Awam bagi menbantu kebajikan anggota, dan dengan adanya yayasan ini nanti ia juga dapat memberi manfaat kepada mereka yang dalam kesusahan," katanya. 

Untuk rekod, sehingga kini terdapat seramai 30,000 anggota APM yang aktif. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel