Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pemandu lori dihukum gantung, bunuh rakan sekampung


Tarikh kemaskini: 14/07/2019





KUALA TERENGGANU, 14 Julai (Bernama) -- Seorang pemandu lori hari ini dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini setelah didapati bersalah membunuh rakan sekampung dengan sengaja melanggarnya dalam kejadian lima tahun lalu.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab. Aziz membuat keputusan itu ke atas Azami Mohamad, 40, setelah mendapati tertuduh yang memandu Proton Gen 2 ketika kejadian mempunyai niat dan sengaja melanggar Rohadi Yaacob, 44, yang menunggang motosikal.

Dalam penghakiman itu, Zainal Azman turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 10 tahun setelah didapati bersalah atas pertuduhan mencederakan Zakaria Taib, 48, yang juga rakan sekampung tertuduh.

Bagi kesalahan pertama dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala tuduhan kedua mengikut Seksyen 307 kanun yang sama.

Selain itu, Azami yang kelihatan tenang di kandang tertuduh turut dijatuhi hukuman penjara enam bulan kerana membuat laporan palsu berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Azami didakwa membunuh Rohadi dan cuba membunuh Zakaria dengan melanggar mereka menggunakan sebuah kereta Proton Gen 2 di Kampung Jelapang, Sungai Tong, Setiu, pada pukul 6 petang, 2 Okt 2014.

Mengikut pertuduhan ketiga, dia didakwa membuat laporan polis palsu di Balai Polis Permaisuri, Setiu pada pukul 6.29 petang, hari yang sama, dengan mendakwa kedua-dua mangsa yang bersenjatakan parang telah menahan kenderaan dipandunya ketika mahu pulang ke rumahnya di Setiu, hingga menyebabkan tertuduh terlanggar kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal.

Ketika perbicaraan, pihak pendakwaan memberitahu mahkamah kejadian itu bermula di sebuah kedai kopi setelah berlaku pertengkaran antara tertuduh dan Rohadi yang menegurnya.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fadhli Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam Harshaan Zamani.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel