Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kongsi maklumat, data atas kapasiti wakil rakyat - Abdul Yunus


Tarikh kemaskini: 14/07/2019





BAGAN SERAI, 14 Julai (Bernama) -- Perkongsian pelbagai maklumat dan data kerajaan negeri dibuat atas kapasiti sebagai wakil rakyat, demikian tegas Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau berkata perkongsian itu penting untuk menyelesaikan pelbagai aduan, serta masalah rakyat di kawasan yang diwakilinya. 

"Saya dan pegawai-pegawai pusat khidmat ADUN setiap minggu atau bulan akan bermesyuarat, banyak dokumen serta surat-surat kerajaan yang dibincangkan, untuk menyelesaikan pelbagai masalah.

"Saya kongsi pelbagai maklumat dan data dengan pegawai-pegawai khas, serta kakitangan pejabat atas kapasiti sebagai wakil rakyat dalam urusan rasmi," katanya dalam sidang media selepas membuat laporan polis terhadap Ahli Jawatankuasa PKR Parit Buntar, Beh Yong Kean di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Kerian di sini, hari ini.

Abdul Yunus tiba dengan beberapa pegawai khasnya di IPD Kerian pada pukul 10.20 pagi dan selesai membuat laporan polis pada 11.20 pagi.

Semalam, Beh yang merupakan bekas pegawai khas Abdul Yunus, membuat laporan polis di IPD Ipoh mendakwa Exco berkenaan telah membocorkan kertas minit Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri, bagi mendapatkan komisen daripada dua syarikat pertanian.

Menjelas lanjut, Abdul Yunus berkata sebagai wakil rakyat sejak tiga penggal, serta kini menjadi Exco, gaji dan elaun yang diterima adalah mencukupi. 

"Tahun 2009 saya tolak rasuah puluhan juta ringgit untuk melompat parti. Amat pelik jika saya ingin mengambil rasuah beberapa ratus ribu seperti yang dituduh sekarang," katanya.

Tambah Abdul Yunus, beliau akan membuat laporan kepada Lembaga Disiplin PKR mengenai penglibatan beberapa individu yang melemparkan fitnah, serta tuduhan palsu kepadanya.

Katanya beliau juga akan membuat laporan rasmi kepada Kementerian Pendidikan, mengenai seorang guru yang bersubahat untuk menjatuhkannya, serta menggugat kestabilan kerajaan negeri. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel