Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Indeks jenayah Johor catat penurunan sejak Januari-Jun lepas


Tarikh kemaskini: 14/07/2019





JOHOR BAHRU, 14 Julai (Bernama) -- Indeks jenayah negeri Johor mencatatkan 4,803 kes bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, sekaligus menunjukkan penurunan sebanyak 6.77 peratus berbanding 5,152 kes bagi tempoh sama, tahun lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata jumlah rampasan dadah pula meningkat kepada 2,634 kilogram dengan nilai RM125.5 juta pada Jan hingga Jun lepas berbanding 412.02 kilogram dengan nilai RM14.183 juta, bagi tempoh sama, tahun lepas.

“Selain rampasan dadah tersebut, polis turut menahan 10,428 individu berkaitan dadah sejak Jan hingga Jun lepas,” katanya berucap pada majlis perbarisan dan serah terima tugas Ketua Polis Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata penahanan kesemua individu tersebut merupakan satu kejayaan besar bagi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dalam memerangi sindiket pengedaran dadah secara berterusan.

Mohd Khalil berkata jenayah komersial pula merekodkan 1,854 kes khususnya penipuan berbanding 1,500 tahun lepas, namun, sebanyak 36.8 peratus daripada 1,854 kes itu sudah diselesaikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor.

Beliau dalam pada itu turut menasihati para pegawai dan anggotanya supaya berhati-hati dalam menjalankan tugas termasuk tidak cepat melatah dan melakukan siasatan secara menyeluruh sehingga ke akar umbi.

Menurutnya, pada masa kini terdapat banyak kes seringkali menjadi tular di media sosial sehingga menggugat kredibiliti pegawai dan anggota polis.

“Di belakang kita juga terdapat pelbagai suruhanjaya, jabatan dan badan bukan kerajaan yang sentiasa memerhati gerak geri dan tindak tanduk kita. Oleh itu, tiada cara lain selain kita perlu menjalankan tugas mengikut cara yang telus dan jujur,” katanya.

Mohd Khalil berkata seiring dengan perubahan zaman, pegawai dan anggota polis juga kini tidak boleh terlalu mengikut kata hati dan naluri sehingga boleh mendatangkan kemudaratan kepada pasukan, keluarga serta diri sendiri.

Sementara itu, majlis serah terima tugas berkenaan menyaksikan Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din dilantik Ketua Polis Johor yang baharu berkuatkuasa hari ini menggantikan Mohd Khalil yang dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, berkuatkuasa Selasa ini.

Majlis itu turut disaksikan Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi Bukit Aman Datuk Seri Tajudin Md Isa.

Mohd Kamarudin, 54, yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Johor pada Julai 2017, menerima Latihan Asas Kepolisan Inspektor pada 1988 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

Beliau berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai selepas tamat latihan sebelum ditukarkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Bukit Aman pada 1997.

Beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada 2006 dan Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia) Bukit Aman pada 2009 sebelum dinaikkan pangkat kepada Timbalan Pengarah (Siasatan Jenayah Siber/Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman pada 2013 seterusnya Timbalan Ketua Polis Johor pada 2017.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel