Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiada tangkapan sepanjang sekatan jalan raya di Pasir Gudang


Tarikh kemaskini: 14/07/2019





JOHOR BAHRU, 14 Julai (Bernama) -- Tiada tangkapan dilakukan sepanjang operasi sekatan jalan raya di Pasir Gudang dijalankan yang bertujuan mencegah cubaan membawa keluar sisa kimia di kawasan itu secara runcit, kata Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.

Beliau berkata sekatan jalan raya yang dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga itu juga berjalan dengan lancar semenjak mula dilaksanakan pada 21 Jun lepas.

Katanya, memandangkan keadaan di Pasir Gudang kembali reda, operasi berkenaan juga akan dikurangkan.

“Kita ambil ia sebagai langkah berjaga-jaga pada awalnya...dengan cara itu pihak Jabatan Alam Sekitar dan pihak berwajib yang lain dapat menjalankan tugas mereka.

“Setakat ini kita berjaya dan mendapati situasi terkawal jadi kita akan kurangkan secara perlahan-lahan (sekatan jalan raya) dan harap Pasir Gudang akan kembali aman seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas Program High  Profile Policing (HPP) Reaching Your Heart di sini, malam tadi.

Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal hadir merasmikan program berkenaan yang turut  dimeriahkan dengan persembahan daripada Unit Pancaragam Pusat dan Pancaragam Zon Selatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan diikuti ‘walkabout’ di Bazar Karat.

Sementara itu, Dr Sahruddin berharap program itu yang menunjukkan keprihatinan terhadap masyarakat dan membangun kapasiti keselamatan serta kesejahteraan harus diteruskan.

“Saya harap ia dapat diteruskan, kebaikan yang dapat saya lihat adalah program ini mendekatkan polis dengan masyarakat.

“Apa yang penting kita bukan mahu masyarakat takut dengan polis, tetapi lebih kepada menghormati mereka,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel