Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

USIM ditugaskan selaras identiti muzik Negeri Sembilan


Tarikh kemaskini: 14/07/2019





NILAI, 14 Julai (Bernama) -- Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ditugaskan sebagai penyelaras identiti Negeri Sembilan untuk mencari identiti sebenar kepada negeri beradat berkenaan yang dikatakan sebelum ini sangat mirip dengan kesenian di Indonesia.

Pengarahnya Ismail Ahmed berkata ini kerana kebanyakan kesenian di Negeri Sembilan mempunyai persamaan dan pertalian dengan masyarakat Minang di Sumatera Barat, Indonesia, dan beliau mengakui untuk mencari identiti berkenaan merupakan tugas sukar.

"Setelah bengkel sesi pemilihan selesai diadakan, kami sepakat bahawa kesenian khususnya muzik yang membentuk Negeri Sembilan mestilah memiliki keunikan dan unggul berbanding negeri-negeri lain.

"Selain itu ia mestilah memiliki keupayaan untuk berkembang dengan muzik tradisi dan boleh digabungkan dengan unsur semasa dan sangat mudah diterima dan menyerap masuk ke dalam jiwa dan minda masyarakat Negeri Sembilan ," katanya kepada Bernama, di sini.

Beliau berkata pusat itu dipilih memandangkan ia pernah menjadi pusat kebudayaan terbaik universiti awam dua tahun berturut-turut iaitu pada 2016 dan 2017.

"Dengan adanya pengurusan dan kumpulan pakar seni budaya, Pusat Kebudayaan USIM diberi peluang untuk menjadi penyelaras muzik bagi identiti Negeri Sembilan kali ini.

"Selain USIM, terdapat juga beberapa agensi kerajaan seperti Lembaga Muzium Negeri Sembilan yang menfokuskan kepada adat manakala Jabatan Kebudayaan dan Kesenian negeri (JKNNS) akan mengangkat soal tarian serta lain-lain berdasarkan kepada kepakaran masing-masing," katanya.

Ismalil berkata idea yang dicetuskan oleh JKKNS itu bertujuan mencari seni budaya Negeri Sembilan untuk diangkat sebagai identiti melalui beberapa kategori antaranya muzik, adat, seni bina, masakan, pakaian, permainan, kesenian dan bunga.

"Pihak Pusat Kebudayaan USIM telah melantik beberapa panel di kalangan pentadbir seni, pengkaji seni dan penggiat seni bagi membincangkan dan memilih muzik melalui beberapa siri bengkel dan perbincangan yang diadakan di USIM yang dipengerusikan oleh saya sendiri. Turut terlibat ialah Pengarah JKKNNS Mohd Radzi Omar, Kamarul Ibrahim (penggiat Cak Lempong) dan Mohd Shah Abdul Rahman (penggiat Bongai)," katanya.

Ismail menjelaskan bahawa identiti merupakan tanda pengenalan yang wujud melalui tindakan dan imej yang dipamerkan untuk menunjukan ciri-ciri istimewa yang dimiliki dan mewakili imej yang dibawa.

“USIM berharap agar muzik Cak Lempong dan Bongai dapat diangkat sebagai identiti negeri dan warisan nusantara untuk kelangsungan generasi kini supaya generasi hadapan masih dapat mengenali dan mampu menyambung warisan tersebut. Usaha ini sangat baik sebagai langkah pemeliharaan dan kelestarian tradisi Melayu kita," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel