Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

KPM disaran wujudkan SOP hadapi kecemasan di sekolah


Tarikh kemaskini: 13/07/2019





JOHOR BAHRU, 13 Julai (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) disaran agar mewujudkan satu prosedur operasi standard (SOP) di peringkat sekolah sebagai langkah menghadapi sebarang situasi  kecemasan atau insiden tidak diingini.  

Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye berkata SOP sebegitu adalah perlu kerana boleh memberi panduan kepada pihak sekolah, murid dan guru untuk mendepani kejadian seperti pencemaran alam sekitar yang berlaku di Pasir Gudang baru-baru ini.

"Saya mencadangkan agar KPM berbincang dengan kementerian lain temasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta agensi kerajaan lain untuk membantu wujudkan SOP berkenaan.

"Agensi -agensi Ini boleh membantu dengan memberikan input, cadangan serta maklum balas kepada KPM tentang bagaimana satu SOP sesuai yang boleh digunakan di sekolah apabila berlaku kecemasan," katanya kepada pemberita selepas perasmian Kem Motivasi UPSR anjuran Yayasan Eco World di Hotel Good Hope Skudai di sini, hari ini.

Beliau berkata antara aspek yang boleh ditekankan ialah pemilihan topeng muka yang bersesuaian yang sepatutnya digunakan oleh pelajar dan warga sekolah kerana sebelum ini tiada pendedahan dan ilmu mengenainya, diberikan kepada pelajar, guru dan sekolah.

Katanya, dalam kes di Pasir Gudang itu misalnya, ramai pelajar mengalami trauma dan fobia yang amat serius kerana semua pihak tidak menjangkakan insiden itu akan menjadi serius.

"Saya sebagai aktivis sosial amat risau atas apa yang berlaku apabila terjadinya fobia di kalangan pelajar dan ibu bapa sehingga ada yang tidak mahu menghantar anak ke sekolah kerana risau akan keselamatan anak mereka. Jadi saya mencadangkan SOP ini perlu diwujudkan,” kata beliau.

Menyentuh isu merotan pelajar, Lee berkata penggunaan rotan haruslah menjadi alternatif terakhir pihak  sekolah untuk mendisiplin dan membentuk pelajar.

Katanya, bagi mengelakkan isu rotan terus terjadi, KPM disarankan agar memastikan bilangan guru kaunseling di setiap sekolah mencukupi.  

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel