Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penoreh getah mengamuk tetak mati dua mangsa


Tarikh kemaskini: 13/07/2019





SEGAMAT, 13 Julai (Bernama) -- Dua orang maut apabila ditetak dengan parang oleh seorang penoreh getah yang mengamuk secara tiba-tiba di sebuah kedai kopi di Buloh Kasap di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superitendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata dalam kejadian 6 petang semalam orang ramai dalam kedai kopi tersebut bertempiaran lari menyelamatkan diri apabila lelaki berusia 33 tahun itu itu tiba-tiba melibaskan parangnya  dan merosakkan pengukus kuih pau di hadapan kedai itu.

"Seorang lelaki, Ku Cheng Liong,74, tidak sempat mengelak lalu terkena tetakan parang pada pipi, kepala, jari  serta ditikam di dada, maut ditempat kejadian,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat hari ini.

Beliau berkata selang lima minit kemudian, bapa kepada tiga orang anak itu menuju ke gerai durian yang terletak kira-kira 200 meter dari kedai kopi tersebut.

"Suspek kemudian menikam dada peniaga durian, Ng Wan Hong,60,  dan mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Buloh Kasap," katanya.

Katanya bertindak atas laporan orang ramai polis menahan suspek di tempat kejadian kedua dengan  masih memegang sebilah parang berlumuran darah.

Beliau berkata polis merampas sebilah parang berukuran sepanjang 45 sentimeter (cm) yang digunakan  dan sebilah lagi parang berukuran 43 cm dan barangan peribadi dalam beg sandang suspek.

Noor Ariffin berkata kes itu disiasat di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis masih menyisat motif kejadian dan tidak menolak kemungkinan suspek mempunyai gangguan mental.

Katanya mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Segamat untuk bedah siasat.

Beliau menolak viral yang tersebar di laman sosial bahawa kes tersebut bernotifkan dendam ataupun bersifat perkauman dan menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan berita palsu.

Polis telah mendapatkan perintah reman selama tujuh hari sehingga 19 Julai terhadap suspek bagi membantu siasatan. Reman dikeluarkan Majistret Salina Omar apabila suspek di bawa ke  Kompleks Mahkamah Segamat kira-kira pukul 9.30 pagi.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel