Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pahang Rangers sasar kekal momentum kemenangan saingan MPFL


Tarikh kemaskini: 12/07/2019





KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Selepas melakar dua kemenangan berturut-turut, Pahang Rangers mengintai peluang untuk mengekalkan rentak kemenangan apabila melayan kunjungan Kedah pada aksi ketiga Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) di Stadium Tertutup Sukpa, Kuantan, esok.

Seorang daripada pemain pasukan berkenaan, Khairul Effendy Bahrin, yang juga kapten skuad futsal kebangsaan, menuntut rakan sepasukannya untuk menggunakan cuti rehat panjang yang diperoleh pasukan berkenaan untuk melakar satu lagi kemenangan di laman sendiri.

Pahang Rangers memperoleh cuti rehat panjang selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menunda aksi pasukan berkenaan menentang Selangor di Kuantan pada 30 Jun lepas kepada 31 Julai ini, sebagai menghormati 40 hari kemangkatan Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.

“Kita sasar mahu kekalkan rekod bersih, namun kami semua sedar Kedah tidak boleh dipandang sebelah mata. Mereka tidak akan beri laluan mudah, selepas tiga perlawanan mereka masih belum menang jadi sudah tentu Kedah akan cuba bangkit memburu kemenangan pada aksi ini. 

“Mereka pastinya tidak mahu terus tercicir mata, jadi penting untuk kami fokus sepanjang perlawanan, mengelak buat kesilapan, bermain ikut sistem dan arahan jurulatih untuk meraih tiga mata," jelas Khairul Effendy dalam satu kenyataan dikeluarkan pasukan berkenaan, hari ini.

Khairul Effendy, yang menggalas tugas selaku ketua pasukan Pahang Rangers susulan kecederaan panjang dialami rakan sepasukannya, Akmarulnizam Idris, turut gembira dengan sokongan padu yang diberikan penyokong pasukan berkenaan setiap kali mereka turun beraksi.

"Sudah tentunya sorakan penyokong akan menjadi azimat utama buat pasukan, sepertimana mereka bangkitkan semangat kita ketika tewaskan KL City selepas ketinggalan 0-2 dan 2-3. Saya harap dapat saksikan sekali lagi suasana itu, saya dengar lebih 2,400 penyokong hadir ketika itu, kali ini biar lebih ramai, jadikan SUKPA sebagai lautan kuning,” kata Khairul Effendy.

Untuk rekod, Pahang Rangers menduduki tangga ketiga carta MPFL dengan kutipan enam mata hasil dua kemenangan iaitu menewaskan Kuala Lumpur (4-2) dan KL City (4-3), manakala Kedah pula di kedudukan ketujuh dengan dua mata hasil dua keputusan seri dan satu kekalahan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel