Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Matta gesa kajian mendalam levi pelepasan


Tarikh kemaskini: 12/07/2019





KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) menggesa kerajaan agar bertemu dan berbincang dengan pemegang kepentingan industri pelancongan sebelum melaksanakan levi pelepasan.   

Presidennya Datuk Tan Kok Liang berkata kerajaan perlu melakukan kajian lebih mendalam mengenai levi tersebut sebelum melaksanakannya, terutamanya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020 yang tinggal hanya enam bulan sahaja lagi.  

"Dengan semua promosi agresif yang dilakukan, industri pelancongan sepatutnya mencapai sasaran (bagi Tahun Melawat Malaysia 2020) tetapi levi pelepasan sudah pastinya akan menghalang pencapaian itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis permeteraian memorandum persefahaman dengan empat syarikat e-hailing bagi menggunakan pengangkutan berdaftar dengan Matta menerusi platform e-hailing.

Menurutnya, kerajaan perlu meneliti laporan oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) yang mengunjurkan levi itu bakal memberi impak negatif kepada industri penerbangan. 

"Kami tidak mengatakan ‘ya atau tidak’ kepada levi pelepasan itu tetapi kami meminta kerajaan agar mengkaji implikasinya," katanya.

Tan juga berhujah bahawa levi itu tidak akan mengekang minat untuk melancong ke luar negara dan juga merangsang pelancongan tempatan. 

"Adakah anda rasa orang akan berhenti pergi ke Eropah hanya kerana levi pelepasan dan sebaliknya memutuskan untuk melancong di dalam negara? saya tidak fikir begitu. Ia tidak akan banyak meningkatkan pelancongan tempatan,” katanya.

Rang Undang-Undang (RUU) Levi Pelepasan 2019 diluluskan di Parlimen pada 10 April untuk dilaksanakan pada 1 Jun sebelum ditangguhkan ke 1 Sept.  

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata di Parlimen minggu ini bahawa kementeriannya mahu pelaksanaan itu ditangguhkan sehingga selepas Tahun Melawat Malaysia 2020. 

Tourism Malaysia, agensi penggalakan pelancongan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mengunjurkan Tahun Melawat Malaysia 2020 bakal menarik 30 juta pelancong antarabangsa datang ke Malaysia dan menjana perolehan sebanyak RM100 bilion.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     

Ibu mati, anak OKU dijumpai dahaga lapar dalam rumah di Skudai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel