Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Protes: polis jamin terus pantau pejabat Suruhanjaya Tinggi Nigeria


Tarikh kemaskini: 12/07/2019





KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Polis memberi jaminan akan terus memantau keadaan di Suruhanjaya Tinggi Nigeria susulan kejadian kira-kira 20 orang yang mendakwa daripada pertubuhan Nigerians In Diaspora Organization Malaysia (NIDO-MY) mengadakan protes di hadapan pejabat suruhanjaya itu di sini, pada pukul 11.50 pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata protes itu diadakan kerana pihak terbabit tidak berpuas hati dengan kematian seorang warga Nigeria di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil dan mendakwa pihak Suruhanjaya Tinggi Nigeria (bersikap) tidak bertanggungjawab terhadap kebajikan warganya itu.

"Bagaimanapun, peserta protes beredar setelah diarahkan polis dan sepanjang protes dijalankan, tiada individu yang mengalami kecederaan serta tidak berlaku sebarang kerosakan harta benda. Polis akan terus memantau keadaan di pejabat Suruhanjaya Tinggi Nigeria dan meningkatkan lagi keselamatan dengan mengadakan rondaan dengan lebih kerap," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau seterusnya menasihatkan warga Nigeria supaya menghormati undang-undang negara dan tidak mengambil tindakan sendiri serta mengelakkan diri daripada menimbulkan sebarang kekecohan.

Katanya polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada bagi mengekalkan keamanan dan kesejahteraan di Kuala Lumpur.

Dalam kejadian itu Mazlan berkata polis bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima laporan yang dibuat oleh kakitangan Suruhanjaya Tinggi Nigeria mengenai kekecohan yang berlaku, dan menurutnya ia berlaku disebabkan peserta protes itu tidak dibenarkan masuk ke dalam pejabat Suruhanjaya Tinggi Nigeria.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya dan menambah kes sedang disiasat mengikut bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

Sementara itu Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud dalam kenyataan hari ini berkata warga Nigeria, Thomas Orhions Ewanisha yang meninggal dunia pada 9 Julai lepas ketika berada dalam tahanan Jabatan Imigresen, disyaki terkena serangan sawan ketika sedang tidur.

Orhions disahkan meninggal dunia pada kira-kira pukul 12.30 tengah malam dan sejurus insiden itu, pegawai penyelia serta pegawai bertugas telah ke Balai Polis Bukit Jalil untuk membuat laporan polis, dan kini pihaknya masih lagi menunggu laporan penuh kesihatan Orhions serta laporan penuh bedah siasat untuk mengetahui punca kematian.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     

Ibu mati, anak OKU dijumpai dahaga lapar dalam rumah di Skudai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel