Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Labuan fokus sektor pelancongan pulihkan semula ekonomi


Tarikh kemaskini: 12/07/2019





Oleh Nur Firdaus Abdul Rahim

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Perbadanan Labuan kini memilih bagi menumpukan sektor pelancongan sebagai pemacu utama ekonomi pulau bebas cukai itu bagi menggantikan kebergantungan terhadap industri minyak dan gas yang mengalami ketidaktentuan pada masa ini.

Pengerusinya Datuk Seri Amir Hussein berkata agensi di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan itu kini memilih menjadikan industri pelancongan yang diharap dapat membantu memulihkan ekonomi Labuan dengan pantas.

Beliau berkata langkah pertama pihaknya adalah untuk menarik lebih pelancong ke wilayah itu terutama pelancong dari negara China yang berpotensi masuk ke Labuan menerusi tanah besar Sabah.

“Sabah kini menerima kira-kira 280,000 orang pelancong dari China setiap bulan, jadi kita kini sedang mengadakan kerjasama dengan Pejabat Kementerian Pelancongan dan Budaya Sabah supaya dapat ‘channel’ (salurkan) sebahagian daripada pelancong yang ramai itu ke Labuan.

“Langkah ini dipersetujui Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew kerana ia dilihat membantu mengurangkan masalah penginapan di Kota Kinabalu terutamanya yang kadangkala terlalu padat dengan pelancong,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama.

Sebelum ini dilaporkan meskipun pasaran minyak dan gas dilihat kembali stabil, namun ia masih belum mampu kembali ke tahap sebelum ini ekoran penutupan banyak syarikat berkaitan industri itu manakala lebih 20,000 tenaga kerja hilang pekerjaan dalam tempoh lima tahun ini.

Amir berkata, pihaknya juga akan berusaha menarik pelancong China ke Labuan disusuli dengan mengadakan perkhidmatan feri jenis Catamaran, yang mampu memendekkan tempoh perjalanan dari tanah besar Sabah ke Labuan kurang dari dua jam, berbanding feri penumpang sebelum ini iaitu tiga jam 45 minit.

“Kementerian Dalam Negeri juga baru-baru ini telah meluluskan permohonan visa on arrival (VOA) terhadap pelancong-pelancong dari negara China yang akan memasuki Labuan,” katanya.

Perbadanan Labuan juga kini aktif mengindahkan semula pantai-pantai di pulau itu bagi menyokong usaha itu termasuk beberapa kawasan tumpuan para penggemar aktiviti menyelam skuba, katanya.

“Kebanyakan para penyelam yang saya temui mengatakan Labuan mempunyai kawasan selaman yang menarik, air laut yang jernih serta hidupan laut yang indah, seperti terumbu karang yang menyamai lokasi selaman terkenal dunia seperti Maldives.

“Kita juga mempunyai beberapa lokasi tinggalan kapal lama (shipwreck) yang berpotensi menarik lebih ramai penggemar akiviti menyelam untuk datang ke Labuan,” katanya.

Labuan yang juga dikenali sebagai pulau bebas cukai selain Pulau Langkawi juga akan mentransformasikan pusat beli-belah bebas cukai yang sebelum ini berselerak di bandar Labuan dengan menempatkannya dalam satu kawasan bagi memudahkan pelancong mendapatkan barangan kesukaan atau cenderahati kenangan untuk di bawa pulang.

“Selain itu kita akan cuba menawarkan lebih banyak barangan yang biasanya dijual di ‘premium outlet’ di tempat-tempat lain di negara ini dengan harga yang lebih murah, kerana kita tidak mahu pelancong hanya membawa pulang arak atau rokok sahaja dari Labuan,” katanya.

Pihaknya juga sedang berbincang dengan syarikat penerbangan tambang murah negara, AirAsia untuk menjadikan Labuan sebagai hab penerbangan bagi kepulauan Borneo sekali gus menjadikan ia sebagai laluan utama untuk kemasukan pelancong dari luar negara terutama dari China ke Sabah, Sarawak, Brunei dan destinasi lain di kepulauan Borneo.

“Dari segi peningkatan rangkaian telekomunikasi, kita juga sudah bertemu dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo serta pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) supaya menjadikan Labuan sebagai ‘test bed’ (percubaan) bagi teknologi 5G kerana kita mempunyai keupayaan dari segi infrastruktur yang cukup tapi tidak digunakan ketika ini .

“Jadi saya cadangkan kepada SKMM dan Telekom Malaysia buat ‘test bed’ di Labuan sebab kita ada sektor kewangan yang mantap, ada ‘offshore bank’(bank luar pesisir) dan syarikat insurans yang semuanya bertaraf antarabangsa,” katanya. 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel