Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Wanita hidap kanser pankreas perlu sumbangan kewangan


Tarikh kemaskini: 12/07/2019





BATU PAHAT, 12 Julai (Bernama) -- Seorang wanita memerlukan sumbangan bantuan kewangan daripada orang ramai bagi menampung rawatan kanser pankreas tahap empat yang dihidapinya sejak tujuh tahun lepas.

Sasiah Abd Samad, 58, berkata selain terpaksa berulang-alik ke empat hospital setiap bulan untuk menjalani rawatan penyakit itu, wang juga amat diperlukan untuk kos ubat ubatan dan harian.

“Saya sudah berhabis puluhan ribu ringgit untuk rawatan penyakit ini termasuk menggunakan duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dikeluarkan beberapa tahun lepas.

“Bagaimanapun, wang berkenaan sudah hampir kehabisan bagi menampung rawatan selain perbelanjaan pengangkutan ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di Batu Pahat, Hospital Selayang, Hospital Putrajaya serta Institut Kanser Negara (IKN) yang mencecah RM1,500 setiap bulan,” katanya.

Sasiah berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Pengerusi Khas Biro Kebajikan Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Jati (PKAAJ) Batu Pahat Mohd Hamidi Mad Tap dan Timbalan Pengurus Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Cawangan Batu Pahat Mohd Saifuddin Mohd Nor, di rumah ibu bapanya di Kampung Bukit Kelicap, di sini hari ini.

Sasiah yang tidak dikurniakan anak, terpaksa berhenti kerja kilang kira-kira empat tahun lepas kerana sering berasa keletihan malah lebih menyedihkan, suaminya turut meninggalkannya selepas mengetahui dia menghidap penyakit tersebut.

Sementara itu, Mohd Hamidi berkata pihaknya prihatin masalah ditanggung Sasiah dengan tampil memberikan sumbangan kepada wanita berkenaan selain merujuk masalahnya kepada pihak Perkeso.

Mohd Saifuddin pula berkata melalui semakan, Sasiah didapati layak menerima pencen ilat yang akan dibayar setiap bulan.

“Sepatutnya, pesakit ini (Sasiah) layak mendapat bayaran pencen berkenaan lebih awal lagi, kira-kira lima tahun sebelum ini tetapi kelewatan untuk merujuk dengan pihak Perkeso menyebabkan wang tersebut dijangka dibayar bulan depan,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu Sasiah pula boleh memberi sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Sasiah bernombor 01145-29-00008908-2.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan galakkan pihak swasta ketengahkan ilmu robotik di sekolah tahfiz

 
     

Sultan Ibrahim lancar buku Kembara Mahkota Johor 2001-2018

 
     

Tiada penangguhan, perbicaraan 1MDB Najib kekal 19 Ogos

 
     

Undi 18: SPR adakan sesi libat urus dengan pihak berkenaan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel