Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jumlah agihan zakat PPZ-MAIWP RM551.56 juta tahun lepas


Tarikh kemaskini: 12/07/2019





KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Sebanyak RM551.56 juta wang zakat Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) telah diagihkan termasuk kepada 110,045 orang penerima bantuan zakat menerusi 28 skim bantuan zakat pada tahun 2018.

Berdasarkan teks khutbah Jumaat yang dimuat naik pada laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini agihan zakat secara langsung yang dibuat menerusi skim berkenaan meliputi bantuan kepada golongan asnaf daripada segala aspek termasuk keperluan asasi, perumahan, pendidikan, perniagaan, kebajikan dan dakwah.

"Bantuan ini berjalan sepanjang tahun dan bukan pada bulan-bulan tertentu sahaja. Pelbagai skim dan program ditawarkan oleh Baitulmal MAIWP bagi menyantuni dan membangunkan taraf hidup golongan ini. Menerusi bantuan kewangan bulanan sahaja, seramai 22,000 ketua keluarga dibantu setiap bulan," menurut teks berkenaan.

Menerusi agihan secara tidak langsung pula, wang zakat yang diterima dimanfaatkan menerusi penubuhan institusi pendidikan dari peringkat usia muda sehingga pengajian tinggi termasuk juga institusi kebajikan dan perlindungan dengan 13 buah institusi telah dibuka oleh MAIWP sehingga kini.

Pada teks yang membawa tema "Asnaf disantuni, nasa depan disinari" itu,  pihak Baitulmal menerusi Skuad Jejak Asnaf berusaha mencari golongan berkenaan dan tidak hanya menunggu mereka datang memohon bantuan dan hasilnya sehingga kini, seramai 3,582 asnaf telah berjaya dijejaki dan disantuni.

Kandungan khutbah itu turut menyentuh mengenai keperluan membantu golongan asnaf untuk keluar dari kemelut kemiskinan, berjaya mencari sumber pendapatan sendiri yang akhirnya akan menjadi pembayar zakat pula untuk menyumbang kepada insan-insan lain yang memerlukan.

Selari dengan itu, MAIWP melaksanakan beberapa langkah proaktif bagi merealisasikan hasrat murni tersebut antaranya, bekerjasama dengan syarikat korporat untuk melahirkan Usahawan Baitulmal yang berjaya di bawah Program Tunas Usahawan Baitulmal.

MAIWP juga menyediakan bantuan zakat berbentuk keusahawanan bagi membantu asnaf menceburi perniagaan dan memberikan bantuan pembiayaan pendidikan kepada anak-anak asnaf  agar mereka berpeluang mendapat kerjaya yang baik seterusnya membantu keluarga keluar daripada belenggu kemiskinan.

Sebelum ini dilaporkan jumlah kutipan zakat PPZ-MAIWP bagi 2018 adalah RM651.22 juta, meningkat enam peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu RM615.19 juta.

Jumlah itu adalah rekod kutipan zakat di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dengan bilangan pembayar zakat di PPZ-MAIWP bagi tahun lalu adalah seramai 180,958 yakni peningkatan tujuh peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu 169,372 pembayar.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan galakkan pihak swasta ketengahkan ilmu robotik di sekolah tahfiz

 
     

Sultan Ibrahim lancar buku Kembara Mahkota Johor 2001-2018

 
     

Tiada penangguhan, perbicaraan 1MDB Najib kekal 19 Ogos

 
     

Undi 18: SPR adakan sesi libat urus dengan pihak berkenaan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel