Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Remaja cedera dipukul ceroboh kedai runcit


Tarikh kemaskini: 12/07/2019





BALIK PULAU,12 Julai (Bernama) -- Seorang remaja lelaki mengalami kecederaan di bahagian belakang badan selepas dipukul dengan getah paip dan rotan ketika cuba memecah masuk sebuah kedai runcit di Simpang Empat, di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A A Anbalagan berkata dalam kejadian 4.15 pagi itu remaja berusia 13 tahun berkenaan, dipercayai dipukul pemilik kedai bersama seorang lagi lelaki selepas menyedari dia memecah masuk premis tersebut.

"Siasatan awal mendapati remaja yang tidak bersekolah itu, menceroboh kedai runcit tersebut melalui bumbung bersama lima orang rakannya yang lain yang sempat melarikan diri dan dia ditangkap pemilik kedai sebelum dipukul di luar premis berkenaan," katanya di sini hari ini.

Katanya berikutan kejadian itu, polis yang tiba di lokasi terus menghantar remaja yang cedera itu ke Hospital Balik Pulau untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata selain pemilik kedai itu, ibu remaja berkenaan turut membuat laporan polis pada Khamis kerana tidak berpuas hati anaknya dipukul sehingga perlu mendapatkan rawatan.

Anbalagan berkata ibu remaja itu mengetahui mengenai kejadian yang menimpa anaknya pada 8 pagi Khamis selepas dimaklumkan oleh pihak hospital.

Katanya polis juga telah menahan pemilik kedai dan lelaki yang memukul remaja itu hari ini bagi membantu siasatan lanjut namun mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis.

"Saya menasihatkan orang awam agar tidak mengambil tindakan sendiri terhadap mana-mana suspek yang mereka tahan dan sepatutnya terus menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 447 dan 324 Kanun Keseksaan iaitu pencerobohan jenayah serta mendatangkan kecederaan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan galakkan pihak swasta ketengahkan ilmu robotik di sekolah tahfiz

 
     

Sultan Ibrahim lancar buku Kembara Mahkota Johor 2001-2018

 
     

Tiada penangguhan, perbicaraan 1MDB Najib kekal 19 Ogos

 
     

Undi 18: SPR adakan sesi libat urus dengan pihak berkenaan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel