Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Projek PSR: Kerajaan P.Pinang jaga kebajikan nelayan


Tarikh kemaskini: 12/07/2019





GEORGE TOWN, 12 Julai (Bernama) -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memberi jaminan kebajikan para nelayan tidak akan dipinggirkan apabila projek tambak laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR) dilaksanakan kelak.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pihak nelayan masih boleh pergi ke laut semasa projek PSR sedang dijalankan dan mereka serta ahli keluarga akan diberikan peluang pekerjaan menerusi projek tersebut.

"Saya percaya proses mendengar pandangan, proses membantah pun sudah berjalan beberapa tahun sebelum ini dan memandangkan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) sudah pun diluluskan maka peringkat yang seterusnya adalah merancang bagaimana melaksanakan projek ini.

"Satu daripada perkara yang perlu ditangani adalah berhubung impak kepada para nelayan dan satu lagi isu yang perlu ditangani adalah menimbangkan tuntutan bayaran sagu hati. Ini memang sebahagian daripada proses sepertimana projek-projek lain sebelum ini," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata pihak Persatuan Nelayan Pulau Pinang turut mengemukakan satu kertas cadangan yang mengandungi beberapa tuntutan kepada kerajaan negeri untuk dipertimbangkan antaranya pemberian bot transformasi moden kepada tekong, keutamaan pemilikan rumah kos rendah kepada awak-awak dan pembinaan jeti pematuhan keselamatan.

Chow berkata kerajaan negeri akan meneliti kesemua tuntutan yang dikemukakan dengan mendapatkan nasihat daripada agensi berkaitan seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia selain mengadakan rundingan dengan pihak terbabit.

Menurutnya, kerajaan negeri juga akan merujuk skim sagu hati yang dibayar kepada pihak nelayan yang menerima impak daripada projek-projek lain sebelum ini sebagai rujukan sebelum membuat keputusan muktamad.

"Sebenarnya tidak ada sebiji rumah pun yang akan menerima impak daripada projek ini. PSR bukan satu projek pembangunan rumah atau komersial yang kampung nelayan perlu dirobohkan dan membina bangunan baharu. Aktiviti tambakan berlaku di laut dan tidak termasuk kawasan kampung nelayan. Sepatutnya mereka boleh kekal di tempat itu.

"Tetapi mungkin ada pihak yang mengambil kesempatan untuk tawarkan rumah supaya mereka dapat membeli ataupun menyewa di bawah skim sewa beli. Semua akan dipertimbangkan oleh jawatankuasa pimpinan Exco Dr Afif Bahardin yang mendapat nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) dari semasa ke semasa," katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan akan melakukan kajian terhadap dakwaan beberapa pihak mengenai projek PSR yang dikhuatiri akan memberi kesan kepada kehidupan nelayan dan alam sekitar, Chow berkata pihaknya bersedia untuk memberi taklimat kepada mana-mana pihak termasuk Perdana Menteri berhubung projek berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Afif yang turut hadir pada sidang media itu berkata jawatankuasa itu akan mengadakan mesyuarat bersama wakil Persatuan Nelayan Pulau Pinang untuk membincangkan mengenai tuntutan pampasan pada September ini.

Beliau berkata jawatankuasa itu yang ditubuhkan sejak projek PSR mula dirancang beberapa tahun lepas telah melaksanakan beberapa inisiatif termasuk menyediakan pusat sehenti untuk semua nelayan dan orang awam mendapatkan maklumat projek berkenaan.

"Mesyuarat Exco telah mengarahkan saya untuk memulakan proses rundingan dan perbincangan bersama para nelayan. Pihak jawatankuasa juga sudah mula membincangkan tentang model, sagu hati atau apa sahaja tuntutan yang telah dikemukakan oleh nelayan.

"Kami perlukan sedikit masa untuk buat persediaan bagi mengkaji semua opsyen dan pilihan yang ada dari segi bagaimana sagu hati atau tuntutan yang dikemukakan itu untuk kami penuhi dan kami lihat tawaran yang kami boleh berikan," katanya.

Kerajaan Negeri bercadang menebus guna 1,821.085 hektar kawasan laut bagi membina tiga pulau buatan merentang dari selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke arah timur sekitar Permatang Damar Laut.

Projek PSR dicadangkan bertujuan mewujudkan bank tanah untuk membiayai projek PTMP Pulau Pinang. Difahamkan jangka masa projek tebus guna adalah selama 15 tahun dan keseluruhan projek dijangka siap antara 30 dan 50 tahun.

Kerajaan Pulau Pinang telah menerima kelulusan laporan EIA bagi projek PSR daripada Jabatan Alam Sekitar pada 4 Julai lepas.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan galakkan pihak swasta ketengahkan ilmu robotik di sekolah tahfiz

 
     

Sultan Ibrahim lancar buku Kembara Mahkota Johor 2001-2018

 
     

Tiada penangguhan, perbicaraan 1MDB Najib kekal 19 Ogos

 
     

Undi 18: SPR adakan sesi libat urus dengan pihak berkenaan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel