Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

APMM tahan 21 nelayan Vietnam ceroboh perairan negara


Tarikh kemaskini: 12/07/2019





PASIR PUTEH, 12 Julai (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 21 nelayan Vietnam serta merampas dua bot selepas didapati menceroboh dan menangkap ikan secara haram di perairan negara, Selasa lepas.

Pemangku Pengarah APMM Kelantan, Komander Maritim Ismail Hamzah berkata kesemua nelayan yang berumur antara 17 hingga 55 tahun itu ditahan pada 1.12 tengah hari dan 2.40 petang di lokasi 92 hingga 97 batu nautika dari pantai Tok Bali di sini.

Beliau berkata pasukan ronda diketuai Pegawai Memerintah Kepten Maritim Che Engku Suhaimi Che Engku Daik yang menggunakan Kapal Maritim Pekan (KM Pekan) terpaksa mengambil masa empat jam untuk menahan bot kedua selepas suspek enggan memberi kerjasama.

“Nelayan warga asing itu juga bertindak agresif dengan melanggar beberapa kali KM Pekan selain menjatuhkan pukat bagi menghalang pergerakan kapal.

“Dalam masa yang sama bot itu juga melakukan pergerakan yang berbahaya sebelum tersangkut di bahagian sisi KM Pekan dan memberi peluang kepada anggota APMM untuk menaiki dan menggeledah bot berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat APMM Tok Bali di sini, hari ini.

Ismail berkata ketika menjalankan pemeriksaan itu, pihaknya mendapati mereka telah membuang alat navigasi Sistem Kedudukan Global (GPS) ke laut untuk menghilangkan bukti kedudukan bot dalam perairan Malaysia.

Beliau berkata nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM1.5 juta termasuk bot, peralatan menangkap ikan, ikan sebanyak 1.05 tan dan 50 kilogram sotong kering.

Katanya kesemua suspek dan bot ditunda ke Jeti APMM Tok Bali semalam untuk disiasat di bawah Akta Perikanan 1985.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel